Pasaran Asia dan Australia tidak menerima trak pikap berprestasi tinggi Ford F-150 Raptor yang sememangnya mengujakan, Namun bulan lalu, Ford Australia mengesahkan mereka akan memperkenalkan Raptor versi lebih kecil, diasaskan dari trak pikap Ford Ranger T6 dan video serta gambar versi prototaip trak berkenaan telah pun disiarkan.
Ford Ranger Raptor akan membuat penampilan pada tahun 2018 dan ia turut akan mendarat di berberapa pasaran Asia-Pasifik. Spekulasi awal berkenaan trak ini menyatakan ia akan dijana sama ada dengan enjin EcoBoost V6 3.5 liter turbo berkembar atau enjin 3.2 liter turbodiesel asal yang diubahsuai bagi mengerah kuasa tambahan. Namun kini satu lagi khabar angin bertiup, dilaporkan oleh Motor Report yang mendakwa trak pikap berprestasi tinggi berkenaan akan hadir dengan enjin EcoBlue 2.0 liter turbodiesel.
Enjin EcoBlue atau dikenali sebagai siri Panther berkenaan diperkenalkan buat pertama kali tahun lalu, menjana van Ford Transit dan Transit Custom. Jika laporan tersebut benar, enjin Panther tersebut bakal menembusi rantau berkenaan menerusi trak pikap Ranger Raptor ini.
Enjin Panther 2.0 liter turbodiesel ini secara progresif akan menggantikan enjin-enjin turbodiesel dari siri Puma sedia ada yang telah pun digunakan hampir 2 dekad. Buat masa sekarang, enjin Puma ini dapat dijumpai dalam Ranger pasaran Malaysia dalam bentuk 3.2 liter dan 2.2 liter Duratorq TDCi, di mana versi dengan kapasiti paling kecil diberikan dua talaan kuasa.
Buat permulaan, enjin EcoBlue akan hadir dalam tiga talaan kuasa iaitu 105 PS, 130 PS dan 170 PS untuk kegunaan komersial. Namun menurut Ford, kuasa enjin Panther 2.0 TDCi ini mampu dikerah setinggi 240 PS bagi kegunaan prestasi tinggi. Enjin tersebut juga dikatakan diiktiraf sebagai enjin Euro-6 dan menawarkan 20% lebih tork (sehingga 340 Nm) bermula 1,250 rpm berbanding enjin 2.2L TDCi.
GALERI: Spyshot Ford Ranger Raptor
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.