Sejak kebelakangan ini, nombor plat pendaftaran kenderaan khas semakin banyak diperkenalkan. Walau pun kebanyakannya melibatkan harga bidaan yang tinggi, namun masih ramai yang mahu memilikinya. Sudahlah ia khas, kebanyakannya sirinya kelihatan unik.

Kali ini giliran plat nombor siri Y pula diperkenalkan di pasaran. Sehingga 20 Oktober ini, anda berpeluang membidanya dan keputusannya hanya akan disiarkan pada 1 November ini.

Siri plat nombor Y 1 hingga Y 9999 telah pun diluluskan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Jalan (JPJ) bagi Yayasan Nur Jauhar yang diasaskan oleh Tun Jauhar dan Toh Puan Hajah Norlidah. Menurut www.yplate.com.my, yayasan ini adalah bagi memberikan bantuan kepada komuniti kurang bernasib baik di Sabah tanpa mengira latarbelakang, agama dan kumpulan etnik.

Klik untuk besarkan

Ia melibatkan bidaan minimum bagi beberapa kategori, bergantung kepada betapa “istimewanya” nombor berkenaan. Harga bidaan minimum bermula dari RM1,000 untuk nombor “biasa” sehingga RM300,000 bagi digit tunggal. Bagi plat paling top ‘Y 1’, ia akan dibida pada harga minimum RM600,000 atau berapa sahaja jumlah bidaan tertinggi yang bakal direbut.

Selain siri G yang diperkenalkan sebelum ini, beberapa siri nombor plat pendaftaran lain yang tidak kurang menariknya juga mendapat sambutan yang menggalakkan, antaranya ‘NAAM’, ‘VIP’, ‘PERFECT’, ‘RIMAU’, selain siri plat yang ditawarkan di bawah JPJ negeri seperti ‘AKU’, ‘RR’ dan ‘DDD’.