Dalam sejarah Triumph Motorcycles selama 115 tahun, model Bobber telah menjadi model yang paling pantas dijual. Jadi untuk model tahun 2018, syarikat itu menyediakan sesuatu yang lebih istimewa iaitu Bobber Black, yang bukan setakat menerima perubahan penampilan, tetapi prestasinya juga dinaik taraf.

Seperti pada namanya, kebanyakan bahagian pada motosikal ini diwarnakan hitam, termasuklah ekzos, perehat kaki, pedal gear, penyambung gear, tuil brek dan klac, pemegang, mangkuk tempat duduk, pelindung enjin, pelindung sprocket, kemasan lampu hadapan dan hab roda. Kesimpulannya, motosikal ini serba gelap dan garang.

Enjin yang digunakan masih lagi sama, iaitu unit 1,200 cc HT penyejukan cecair, bersama transmisi enam gear yang boleh menghasilkan sebanyak 77 PS pada 6,100 rpm dan 106 Nm tork pada 4,000 rpm. Hasil daripada penggunaan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini dapat didatangkan dengan mod tunggangan, bersama sistem kawalan cengkaman dan ABS.

Spesifikasi Bobber Black turut dipertingkat berbanding model Bobber sebelum ini. Bermula pada bahagian rim dan tayar, ia kini menggunakan unit 16 inci bersama tayar lebih gemuk, manakala suspensi hadapan juga menerima fork Showa yang lebih gemuk, berukuran 47 mm, berbanding 41 mm pada Bobber biasa. Brek pula menggunakan unit cakera 310 mm berkembar dengan angkup Brembo dua piston di hadapan dan cakera tunggal bersama angkup satu piston di belakang.

Ciri-ciri lain Bobber masih dikekalkan seperti tempat duduk tunggal yang kelihatan seperti terapung, suspensi belakang monoshock RSU, bahagian belakang ‘swing cage‘ yang nampak seperti sebuah hardtail dan tinggi tempat duduk yang memudahkan iaitu hanya 688 mm. Seperti biasa, pilihan luas aksesori rasmi daripada Triumph sendiri ada disediakan untuk Bobber Black.