Ini mungkin antara model kenderaan yang unik dan menarik yang bakal membuat kemunculan di Tokyo minggu ini. Setelah pertama kali diperkenalkan model konsepnya pada Tokyo Motor Show 2013, akhirnya Toyota JPN Taxi akan membuat penampilan sulung secara rasminya pada pameran yang akan dibuka kepada media esok.

Model ini sudah mula dibuka untuk jualan di Jepun bermula semalam, dengan penawaran dua varian – Nagomi dan Takumi. Kedua-duanya menggunakan sistem bahan bakar LPG (gas petroleum cair), dengan enjin 1.5 litre 1NZ-FXP empat-silinder yang berasal dari keluarga Toyota Hybrid System II.

Masih belum ada apa-apa perincian lanjut yang diketahui mengenai kereta ini, tetapi Toyota mendakwa kereta pacuan hadapan ini berkeupayaan menjangkau bacaan 19.4 km bagi setiap liter dengan pembebasan CO2 yang sangat rendah.

Terdapat beberapa lagi hal menarik yang dinyatakan oleh pengeluarnya; penjagaannya sangat minimum, antaranya disumbang oleh penggunaan pam air berkuasa yang tidak perlu diselenggara (menggunakan sistem tali sawat auxiliary).

Pilihan sistem suspensi pula ialah dari jenis McPherson di bahagian depan dan multi-link untuk bahagian belakang, kedua-duanya direka untuk tahan lasak. Dari segi rekaan, menurut Toyota, model ini dihasilkan dengan penampilan yang unik agak mudah dikenalpasti oleh pengguna, dan penggayaannya – yang sangat unik dan mudah dicam – dijangka mampu bertahan lama merentasi beberapa dekad.

Ia menerima gril dari rekaan yang sinonim dengan Toyota ketika ini – seperti pada model Crown Sedan dan Crown Comfort. Cermin sisi pula diletakkan pada bahagian atas bonet depan dan bukannya pada tiang-A.

Varian Nagomi menerima lampu utama reflektor halogen sementara Takumi dilengkapi lampu utama projektor bi-LED. Antara yang membezakan kedua-duanya lagi ialah penggunaan rim dengan rekaan yang berlainan serta pemegang pintunya. Takumi turut didatangkan dengan lampu belakang menegak pada tiang-D, bampar belakang dicat serta kemasan krom pada bahagian belakangnya.

Di dalam, kedudukan suis kawalan terbahagi kepada dua; kawalan pendingin hawa serta ciri khusus untuk pemandu semuanya ditempatkan disebelah kanan, sementara sistem GPS, meter teksi dan lain-lain pula mudah diperhatikan sendiri oleh penumpang. Suis bagi lampu kecemasan pula diletakkan disebelah kanan stereng, kerena menurut Toyota, ciri ini kerap digunakan oleh pemandu teksi di sana.

Rekaan lantai rata di belakang turut memudahkan penumpang keluar-masuk, dengan ruang barangan yang seluas 401 liter yang mampu memuatkan empat beg golf. Dari sudut keselamatan, model ini dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense C (TSS-C) dan enam beg udara sebagai ciri standard. Sistem Intelligent Clearance Sonar, yang berfungsi untuk mengesan halangan dan mengelakkan perlanggaran yang disebabkan pecutan mengejut ditawarkan sebagai pilihan.

Sekarang tiba kepada harganya – ia bermula dari 3,277,800 yen (RM122k) bagi varian Nagomi dan 3,499,200 yen (RM130k) bagi Takumi. Toyota mensasarkan akan menjual 1,000 unit JPN Taxi ini sebulan, dan ia dikeluarkan dari kilang Toyota di Higashi-Fuji.