Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 151,600 unit kenderaan, naik 0.5% bagi tempoh sama tahun lalu. Syarikat itu juga optimistik bakal mengukuhkan jualan pada suku keempat tahun ini, dan berada dalam situasi yang betul untuk mencapai sasaran jualan yang ditetapkan bagi tahun ini, iaitu sebanyak 202,000 unit kenderaan.

Seperti kebanyakan jenama, jualan pada suku ketiga 2017 Perodua adalah sederhana, dengan jumlah 51,900 unit juga adalah 3% kurang berbanding tahun lalu. Tetapi, perlu dinyatakan, pencapaian suku ketiga tahun lalu dirancakkan oleh pengenalan model Perodua Bezza pada Julai.

“Memandangkan pembentangan Bajet 2018 yang berlangsung bulan ini, jualan adalah sedikit perlahan kerana ramai pelanggan yang ingin tunggu dan lihat,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh minggu lalu. “Suku keempat dijangka turut akan menjadi sangat mencabar, tetapi kami percaya Perodua dapat mengekalkan momentum jualan dan sangat optimistik untuk mencapai sasaran awal 202,000 unit menjelang tujung tahun 2017 nanti,” ujar beliau.

Dengan angka 48,700 unit, Axia menjadi model paling laris keluaran Perodua setakat ini, diikuti oleh Myvi dengan 42,000 unit. Bezza pula mencatat 39,800 unit sementara Alza dengan 21,400 unit bagi tempoh Januari hingga September. Perodua juga menjelaskan, semua model-model ini menjadi mendahulu bagi segmen masing-masing.

“Kami ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia di atas kepercayaan yang ditunjukkan terhadap jenama kami,” jelas Aminar. Pada 2016, Perodua menjual sebanyak 207,100 unit kenderaan dan mencatatkan kadar perkongsian pasaran tertinggi iaitu 35.7%.

Khidmat lepas jualan juga menjana pulangan yang besar buat Perodua; jumlah kenderaan yang diservis meningkat sebanyak 4.6% kepada 1.58 juta kenderaan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Ini lonjakan yang besar berbanding 1.2% tempoh sama yang dicatat pada separuh pertama 2017.

Bagaimanapun, cabaran buat Perodua sama saja dengan pemain industri yang lain. Paling utama ialah kadar pinjaman jual-beli kenderaan. Sekitar 85%-90% pelanggan Perodua yang membuat pinjaman, ketika jumlah tempahan yang tinggi, kadar peratusan yang diluluskan pinjaman mereka agak rendah, iaitu 48%.