Disebabkan penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu menjadi antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia, kerajaan memutuskan untuk memasukan kesalahan terbabit dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), berkuat kuasa tahun depan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, langkah itu bertujuan mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan, laporan Berita Harian.

“Setakat ini AWAS yang dilancarkan awal tahun ini hanya meletakkan dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat. Namun banyak juga faktor lain yang turut menyumbang kepada kes kemalangan seperti memotong di garisan berkembar, salah guna laluan kecemasan dan menggunakan telefon bimbit.

“Saya bimbang dengan kemalangan membabitkan pemandu yang guna telefon bimbit dan kemalangan jenis ini semakin meningkat. Kita ada data-data yang menunjukkannya, justeru kita perlu memasukkannya dalam sistem demerit ini,” katanya.

Baru-baru ini Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata, dalam kajiannya mendapati kebanyakan pemandu di negara ini mengakui bahawa penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya,

Menerusi kajian yang dijalankan, majoriti rakyat Malaysia juga bersetuju penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh mempengaruhi tingkah laku pemanduan serta membahayakan diri mereka dan orang lain, namun mereka masih berbuat demikian.

Miros melakukan kajian rawak pada tahun lalu terhadap 300 responden di Lembah Klang yang mendapati 43.4% pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta dan membonceng motosikal manakala 61.7% pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.

Dalam masa yang sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan dua jenis kamera iaitu jenis statik dan bergerak, bagi mengesan pesalah trafik yang didapati menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu dan mereka yang ditangkap akan disaman sebanyak RM300.