Persatuan Perlindungan Pengguna Pulau Pinang telah mengajukan pertanyaan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) jika ada kemungkinan untuk melonggarkan peraturan tempat letak kereta OKU. Hal ini untuk membenarkan juga mereka yang sempurna fizikal tetapi membantu warga OKU di bawah jagaan mereka untuk meletak kenderaan di petak khas berkenaan.
The Sun melaporkan, persatuan itu meminta MBPP untuk membenarkan pemandu membuat salinan fotostat kad OKU di bawah jagaan mereka dan mempamerkannya pada kenderaan yang digunakan. Ini berikutan kejadian seorang wanita yang membawa ibunya yang kuran upaya dikunci tayar keretanya kerana diletakkan di petak khas OKU.
Presidennya, Datuk K. Koris Atan berkata, pihak berkuasa tempatan sepatutnya memberi kelonggaran terhadap penjaga OKU. Jelasnya, kad dan pelekat OKU yang dikeluarkan ketika ini hanya untuk kegunaan individu yang layak itu sendiri, dan bukannya untuk penjaga sekali.
“Sekarang ini, ramai OKU yang terpaksa bergantung kepada penjaga mereka di dalam urusan harian, termasuk ke bank dan berurusan di jabatan kerajaan. Jadi, jika mereka boleh buat salinan fotostat bagi kad dan pelekat OKU dan tinggalkan dalam kereta, ia sepatutnya lebih memudahkan dan tidak mendatangkan masalah sekiranya menggunakan petak khas OKU,” ujar beliau.
Pendekatan ini akan berhasil sekiranya OKU hanya membenarkan penjaga mereka untuk membuat salinan yang dimaksudkan dan tidak menyalahgunakan proses berkenaan. Berikutan pertemuan yang berlangsung itu, MBPP bersetuju untuk mempertimbangkan dengan lebih lanjut cadangan berkenaan. Pihak berkuasa tempatan itu menguatkuasakan dengan ketat peraturan tempat letak kereta OKU.
Tahun lalu, majlis bandaraya berkenaan telah mengambil tindakan terhadap 53 pesalah yang menggunakan tapak khas OKU di negeri berkenaan. Setiap kesalahan diberikan sama RM100. Menurut kaunselor MBPP, Chris Lee Chun Kit, matlamat utamanya adalah untuk memastikan kemudahan untuk OKU tidak disalah guna.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.