Kenichi Yamamoto – Bapa pembangunan enjin Wankel Rotary Mazda meninggal dunia pada usia 95 tahun

Kenichi Yamamoto – Bapa pembangunan enjin Wankel Rotary Mazda meninggal dunia pada usia 95 tahun

Jurutera yang mengetuai projek enjin Rotary Mazda setelah pembuat automotif berkenaan berjaya memperolehi paten dari warganegara Jerman, Dr. Felix Wankel iaitu Kenichi Yamamoto telah meninggal dunia pada usia 95 tahun, lapor portal berita Jepun, Asahi.

Menurut laporan tersebut, Yamamoto disahkan meninggal dunia pada 20 Disember lalu, namun berita ini hanya disampaikan oleh keluarganya kepada media pada sambutan Hari Natal baru-baru ini.

Yamamoto dilahirkan di daerah Kumamoto pada tahun 1922, dan kemudian berpindah mengikut keluarganya bandar kelahiran Mazda iaitu Hiroshima. Beliau kemudiannya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Tokyo pada tahun 1944, kemudian mula berkhidmat Kawanishi Aircraft Company.

Namun Perang Dunia Kedua menyebabkan Yamamoto direkrut untuk menjadi tentera laut Jepun pada 1945, tetapi beliau dapat pulang semula ke Hiroshima pada September tahun tersebut setelah bandar berkenaan ditimpa bom atom yang menyebabkan Jepun mengangkat bendera putih.

Serangan berkenaan menyebabkan ahli keluarganya terkorban kecuali Ibunya yang masih terselamat. Bagi menyara keluarga di bandar yang teruk terjejas tersebut, Yamamoto hanya berpeluang bekerja sebagai pekerja kilang Toyo Kogyo (nama lama bagi Mazda) yang memproduksi sistem transmisi.

Bakat Yamamoto dikesan oleh jurutera senior kilang berkenaan setelah beliau dilihat bersungguh dalam menelaah blueprint setiap kotak gear dan unit differential yang dipasangnya dan kemudian setiap spesifikasi dan toleransi komponen berkenaan diteliti dengan rapi. Selepas itu, Yamamoto ditawarkan untuk bekerja sebagai jurutera sebenar dan menghasilkan enjin dengan injap pada bahagian atas (OHV) pertama Mazda pada umur 25 tahun.

Yamamoto kemudiannya menjadi penolong pengurus untuk Divisi Enjin dan Rekabentuk Kenderaan Mazda serta terlibat dengan pelbagai projek termasuk trak K360 serta kereta penumpang pertama Mazda – R360. Kereta berkenaan kemudiannya menguasai 65% bahagian pasaran untuk segmen K-Car di Jepun, menjadikan Mazda salah satu jenama automotif terpenting di negara matahari terbit berkenaan ketika itu.

Seterusnya, presiden Toyo Kogyo ketika itu iaitu Tsuneji Matsuda melantik Yamamoto untuk mengetuai pasukan pembangunan enjin Rotary Mazda. Pasukan berkenaan terdiri dari 47 orang jurutera, perekabentuk serta saintis material yang kemudiannya digelar ’47 Ronin’ sempena nama sepasukan samurai lagenda Jepun.

Pasukan ini kemudiannya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh enjin Rotary yang pada asalnya dicipta oleh Dr Felix Wankel – terutamanya masalah pelinciran pada bahagian apex seal di setiap bucu rotor yang menyebabkan enjin tersebut tidak dapat dikomersilkan.

Kejayaan projek berkenaan seterusnya membolehkan Mazda melancarkan kereta sport produksi pertamanya dengan enjin Wankel Rotary iaitu Cosmo Sport pada tahun 1967, dan kemudian legasi berkenaan disambung pada model R100, RX-3 dan seterusnya, sehingga yang terakhir Mazda RX-8 pada tahun 2003.

Yamamoto turut terlibat dalam Projek Phoenix pada era 70’an yang menghasilkan enjin Rotary dengan penggunaan bahan api 40% lebih baik dari sebelum ini serta berjaya melepasi kadar emisi yang ditetapkan dalam undang-undang Akta Udara Bersih 1970. Kejayaan demi kejayaan ini membolehkan Mazda bertahan sebagai satu-satunya pengeluar automotif yang menghasilkan kenderaan dengan enjin unik berkenaan, dari 14 jenama yang turut menghasilkannya sebelum itu.

Kenichi Yamamoto seterusnya dilantik sebagai presiden Mazda pada tahun 1984 dan kemudiannya sebagai pengerusi pada tahun 1992. Kemudian, beliau bertindak pula sebagai penasihat Mazda, sebelum bersara sepenuhnya. Nama Yamamoto telah dipahat di Japan Automotive Hall of Fame pada tahun 2007, atas “usaha berterusannya untuk menyahut cabaran dalam pembangunan enjin Rotary.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required