Ingatkan hal-hal berkaitan pergeran antara pemandu teksi dengan Uber/Grabcar sudah selesai selepas ia dibincangkan di dalam Dewan Rakyat sebelum ini, tapi nampaknya tidak. Di Kuching semalam, pemandu-pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) melancarkan mogok sejak pagi untuk membantah perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian itu.

Ini kemudian disusuli pula dengan sejumlah 200 pemandu teksi yang berkumpul di perkarangan Dewan Undangan Negeri di Petra Jaya untuk menyampaikan memorandum bantahan terhadap persaingan yang menurut mereka “tidak adil” antara mereka dan yang diusahakan oleh Grab/Uber, lapor Bernama.

Jurucakap kumpulan itu, Abdul Rahman Ahad berkata, memorandum berkenaan ditujukan kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan merayu untuk menjadikan persaingan antara kedua-dua perkhidmatan itu lebih adil, dan kelangsungan pendapatan mereka tidak terkesan akibat pengenalan perkhidmatan baru berkenaan.

“Terdapat banyak perkara yang tidak adil ketika ini. Misalnya pemandu teksi terpaksa berdepan dengan pelbagai syarat dan caj ketika mengambil penumpang sedangkan Grab/Uber sebaliknya diberikan banyak kelonggaran,” ulas Abdul Rahman, yang turut merupakan Timbalan Presiden Persatuan Teksi Bumiputra Cawangan Kuching.

Tindakan mogok itu memberi kesan kepada perkhidmatan teksi dari KIA kerena pemandu teksi secara beramai-ramai enggan mengambil penumpang. Perkhidmatan mereka bagaimanapun disambung semula pada jam 6 petang. Berikutan kejadian itu, satu sesi dialog antara Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, pengurusan KIA dan pemandu teksi dijangka akan diadakan pada Jumaat.