Idea mengembara menggunakan motosikal sememangnya menarik. Anda boleh meneroka tempat-tempat yang mempesona, tidak terbeban dengan kos jika dibandingkan dengan kereta dan keterujaan menjadi bebas itu boleh terasa apabila sudah memulakan perjalanan.

Walaupun kebanyakan motosikal dibangunkan dengan penggunaan yang khusus, sebenarnya pengembaraan bermotosikal ini boleh dilakukan dengan apa sahaja jenis motosikal, selagi penunggangnya cukup tahan untuk menempuh cabaran yang bakal dilalui.

Walaubagaimanapun, bagi penunggang yang betul-betul tahu mereka mahu lebih banyak meneroka, motosikal kembara menjadi pilihan, dan biasanya yang terdapat dalam pasaran adalah model yang berkapasiti tinggi. Nama yang sering disebut sudah tentu adalah BMW R1200GS, manakala model-model lain pula adalah seperti KTM Adventure, Ducati Multistrada, Kawasaki Versys, Suzuki V-Strom atau Honda Africa Twin.

Apabila berkapasiti tinggi seperti motosikal yang disebutkan tadi, sudah tentu, harganya juga lebih tinggi, dan mempunyai saiz yang besar. Tidak semua orang berkemampuan untuk memiliki atau menggunakan (baik dari aspek kewangan ataupun pengendalian) motosikal seperti ini, jadi wujudlah satu lagi segmen motosikal kembara berkapasiti lebih rendah.

Segmen yang disebutkan ini adalah untuk motosikal yang menggunakan enjin di bawah 400 cc, yang sebelum ini cuma banyak dikuasai oleh model berasaskan model offroad seperti CRF250 dan Kawasaki KLX250, manakala bagi segmen pertengahan, ia sudah juga wujud sekian lama melalui model seperti KTM Enduro 640/690, Suzuki DR650, Kawasaki KLE500/KLR650 atau BMW F650/700/800 GS.

Masalahnya apabila menggunakan motosikal yang diasaskan daripada model offroad, ia mempunyai kecenderungan tidak begitu selesa, tangki minyak kecil dan nisbah gearnya tidak begitu padan untuk tunggangan di atas jalan biasa. Disebabkan itu, beberapa modifikasi perlu dilakukan ataupun apabila pergi mengembara, lebih banyak barang perlu dibawa.

Jadi, untuk model kembara berenjin kapasiti rendah baru, dalam pasaran Malaysia sekarang ada beberapa model seperti Kawasaki Versys-X 250, Honda CRF250L/Rally dan terbaru, BMW G310 GS. Di pasaran luar, ada juga model baru Suzuki V-Strom 250, sementara jika KTM dapat mengeluarkan sebuah model berasaskan Duke 390, tetapi dengan suspensi lebih tinggi dan rim lebih besar, mesti ia akan menjadi saingan sengit.

BMW G310 GS dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Oktober tahun lalu, dengan harga pasaran RM29,900 (termasuk GST, tanpa insurans), dan boleh dipilih dalam tiga warna Cosmic Black, Racing Red dan Pearl White Metallic. Walaupun sudah beberapa bulan dilancarkan, baru kini kami dapat mencuba sendiri model yang ditunggu-tunggu ramai ini selama beberapa hari.

Perkara utama yang perlu diketahui berkenaan motosikal ini adalah ia dibina dengan kerjasama TVS Motorcycle, iaitu sebuah syarikat pengeluar motosikal terbesar di India selain Bajaj dan Hero. Walaupun banyak aspek kejuruteraan dilakukan oleh BMW, pengeluaran serta pengetahuan dalam motosikal berkapasiti rendah diserahkan kepada TVS. Apatah lagi, ini adalah kali pertama BMW masuk dalam segmen motosikal kapasiti rendah, bersama satu lagi model yang menggunakan asas sama, tetapi mempunyai badan naked, iaitu G310 R.

BMW dan India. Jika ada yang sangsi dengan gabungan ini, saya boleh katakan anda tersilap. Dengan meneliti sahaja motosikal ini, anda akan dapat melihat sendiri ia dihasilkan dengan tekanan kepada kualiti, baik apabila dipandang, mahupun disentuh. Ternyata, BMW tidak mahu jenama mereka jatuh walaupun pada motosikal berkapasiti rendah.

Kemudiannya, ada pula yang tertanya, adakah motosikal ini layak menggunakan nama GS, yang sudah cukup terkenal dengan kewibawaannya? Selepas menunggangnya selama beberapa hari, dalam pelbagai keadaan termasuk offroad, saya boleh terus katakan kepada anda, ya, kenapa pula tidak?

Kita lihat terlebih dahulu pada rekaannya. Bentuk abangnya yang lebih besar, semuanya diikut kembali termasuklah pada bahagian paruh hadapan (penghadang lumpur), tangki, fender kecil di tepi, malah pada bahagian belakang juga, G310 GS turut didatangkan terus dengan platform untuk meletakkan beg barangan. Cuma dari aspek saiz dan berat sahaja ia berbeza.

Bukan itu sahaja. Apabila duduk di atas motosikal ini juga perasaannya hampir sama. Anda akan dapat satu kedudukan yang tegak, tempat duduk yang luas, pemegang yang lebar serta tangki yang besar. Saya juga boleh memberitahu, G310 GS adalah sebuah motosikal yang tinggi. Untuk melangkah naik tidak begitu mudah seperti motosikal biasa, dan bagi orang yang rendah, di bawah 170 sm, anda mungkin perlu memijak terlebih dahulu di bahagian kiri motosikal, dan barulah melangkah ke bahagian seterusnya – seperti cara yang kononnya paling macho untuk menaiki motosikal kembara.

Tapi selepas duduk, anda akan dapati kaki akan lebih mudah menjejak tanah. Saya yang berketinggian 180 sm masih dapat memijak rata kedua-dua belah tapak kaki pada tempat duduk biasa yang berketinggian 835 mm. Walaubagaimanapun, mereka yang tidak selesa dengan ketinggian ini boleh mendapatkan pilihan lain yang disediakan oleh BMW Motorrad Malaysia iaitu yang lebih rendah 820 mm manakala yang lebih tinggi 850 mm.

Pujian juga harus saya beri kepada BMW kerana berjaya menyediakan satu geometri penunggang yang cukup selesa pada motosikal ini. Sekurang-kurangnya, itu apa yang saya rasa. Kaki terletak di kedudukan yang betul untuk menghasilkan tunggangan yang selesa, sementara pemegang pula mudah dicapai sambil badan masih tegak. Ini adalah semasa di atas jalan biasa.

G310 GS ini dikuasakan oleh enjin sama seperti G310 R, iaitu unit satu silinder 313 cc suntikan bahan api elektronik berkuasa 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm pada 7,500 rpm, manakala kotak gear yang digunakan pula adalah unit enam kelajuan dengan penyamaian kuasa ke roda belakang menggunakan sistem rantai. Enjin ini juga menerima penarafan emisi Euro 4.

Sebaik dihidupkan dan pendikit dipulas, enjin ini menghasilkan bunyi yang jelas, manakala deruman ekzos pula masih sedap didengar dan tidak terlalu senyap. Semakin anda menunggang dengan lebih laju, semakin anda akan perasan bahawa enjin ini kuat menjerit. Tetapi satu perkara yang baik, ia cukup lancar dan tidak mempunyai banyak gegaran apabila memecut. Tetapi apabila anda melepaskan minyak, anda akan rasa sedikit gegaran di tapak peletak kaki.

Berkenaan kuasa, saya rasakan ia padan dengan motosikal ini. Bermaksud, ia tidak rasa kekurangan kuasa dan apabila diperah, anda akan dapat merasa pecutan ke hadapan berlaku terus. Gear pula mudah dimasukkan manakala tuil klac pula mempunyai berat yang boleh dirasa, tetapi tidak keterlaluan.

Apa yang menjadikan G310 GS lebih menarik adalah ia mudah dikendalikan. Apabila duduk di atas motosikal, ia cukup mudah untuk dihalakan ke mana yang mahu, menjadikan tunggangan di dalam kawasan bandar yang sesak juga tidak membebankan. Antara penyumbangnya adalah berat motosikal ini cuma 169.5 kg, dalam keadaan siap dengan semua minyak untuk bergerak.

Sebagai perbandingan dengan dua pesaing terdekatnya, G310 GS lebih ringan 3.5 kg berbanding Kawasaki Versys-X 250 (173 kg) dan lebih berat 12.5 kg berbanding Honda CRF250 Rally (157 kg). Tetapi harus diingat, dua motosikal pesaing ini cuma memiliki enjin 250 cc, manakala kapasiti tangki minyak G310 GS pula adalah 11 liter, manakala CRF250 Rally 10.1 liter dan Versys-X 250 17 liter. Dengan cara penggunaan saya, satu tangki minyak penuh G310 GS boleh bertahan sehingga 260 km.

Biasa bagi motosikal berkapasiti tidak terlalu besar ini, ramai yang mahu tahu berapa kelajuan maksimumnya. Saya boleh beritahu, ia mampu mencapai kelajuan lebih daripada 140 km/j tetapi, kelajuan yang selesa adalah sekitar 120 km/j. Sebabnya, anda boleh melihat sendiri penghadang angin hadapannya pendek sahaja dan seperti tidak mempunyai sebarang fungsi untuk melindungi diri daripada angin, dan motosikal ini juga agak ringan sekaligus terganggu sekiranya angin terlalu kuat.

Walaubagaimanapun, saya masih berpendapat ia adalah sebuah motosikal yang cukup stabil, walaupun menggunakan rim 19 inci di hadapan, 17 inci di belakang dan tayar dual purpose. Untuk tetapan suspensi juga walaupun lebih tinggi daripada G310 R, iaitu 180 mm jarak pergerakan di depan dan belakang, penunggang masih boleh mengambil selekoh atas jalan raya biasa dengan yakin. Fork yang digunakan di hadapan adalah jenis USD 41 mm, manakala di belakang terdapat satu penyerap hentak dengan pelarasan pra beban.

Tetapan ini, selain selesa digunakan atas jalan biasa di mana anda tidak perlu risau dengan permukaan tar yang tidak rata ataupun bonggol, ia jelasnya adalah menyediakan G310 GS dengan jalan yang lebih mencabar. Perkara ini juga boleh dilihat dengan adanya kelengkapan lain seperti pelindung bawah enjin, pelindung rangka yang diperbuat daripada plastik (berhampiran pemijak kaki), penghadang lumpur suspensi belakang dan penghadang angin yang pendek.

Bagi yang masih belum faham, penghadang angin itu dijadikan pendek supaya apabila anda berdiri di atas motosikal sambil membongkok di jalan kasar, kepala anda tidak akan terhempas ke bahagian tersebut. Tapi sebenarnya, kalau ia boleh dilaras tinggi rendah lebih baik, tapi seperti yang boleh dijangka, kosnya mungkin lebih tinggi.

Untuk saya yang berketinggian 180 sm, apabila berdiri di atas G310 GS, pemegangnya mula terasa sedikit rendah. Anda boleh lihat sendiri keadaannya seperti di dalam gambar saya meredah lumpur tersebut. Bahagian lain seperti kaki masih lagi selesa sewaktu berdiri.

Sejujurnya, walaupun gemar motosikal jenis ini, saya tidaklah begitu mendambakan R1200 GS. Sebabnya bagi saya, ia terlalu selesa dengan suspensi telelever di hadapannya, dan terlalu besar untuk dibawa berseronok di dalam hutan. Saya juga teringat pernah memuat naik gambar sebuah motosikal kembara sambil menggelungsur di atas tanah merah, dengan tajuk yang menyatakan ‘anak gajah’ (BMW R1200 GS) tidak boleh memberi keseronokan sebegitu, dan seorang rakan yang memiliki GS membalas, “anak gajah tak slide, dia redah je.”

Apa yang beliau katakan itu benar, tapi bukan itu yang saya mahu. Malah, bukannya R1200 GS tak boleh menggelungsur di atas jalan licin, cuma ia memerlukan tenaga dan kawalan yang lebih untuk mengendalikannya. Melalui G310 GS, saya dapat menikmati keseronokan yang saya mahu di atas jalan lasak.

Bermacam tempat juga yang saya masuk (tiada di dalam gambar) seperti di Semenyih, melalui trail satu laluan bersama seorang lagi rakan yang menunggang KLX150BF mencari durian (untuk dibeli ya, bukannya ambil begitu sahaja) dan tembus ke kawasan air terjun yang cuma ada beberapa orang anak orang asli. Hampir separuh hari kami meneroka dan santai di kawasan tersebut, dan saya tidak rasa penat untuk mengendalikan G310 GS dalam laluan yang sempit.

Kemudiannya, G310 GS juga mempunyai butang khas di bahagian kiri pemegang yang boleh menutup fungsi ABS pada breknya. Ini sangat berguna apabila memasuki jalan offroad, di mana ada waktunya tayar yang menggelungsur lebih mudah dijangka berbanding pergerakan yang terganggu dengan fungsi ABS. Walaubagaimanapun, fungsi ABS ini akan aktif semula secara automatik apabila enjin dimatikan. Bermakna jika enjin anda mati secara tidak sengaja sewaktu di dalam kawasan offroad, anda perlu menekan kembali butang ini untuk menutup ABS.

Menjadikan motosikal ini seronok untuk ditunggang dalam kawasan offroad adalah ia mudah dikawal. Lebih mudah berbanding Versys-X 250, tetapi tidak semudah CRF250L. Disebabkan ia mempunyai kuasa lebih berbanding dua motosikal ini juga, anda boleh menikmati lebih keseronokan dengan membuatkan motosikal hilang kawalan sebentar, dan ‘menangkap’ dan mengawalnya kembali.

Tapi perlu diingat, G310 GS ini sebenarnya bukanlah motosikal yang boleh dibelasah teruk dalam kawasan offroad. Rimnya menggunakan jenis aluminium yang diacu (sport rim) dan bukannya jenis lidi (spoked) yang lebih tahan lasak. Jadi bermaksud, anda sepatutnya bersantai sahaja waktu dalam laluan offroad, di mana ia mungkin boleh lepas dengan mudah, dan jangan pula terlalu agresif seperti lembu keluar kandang.

Berdasarkan semua kemampuan ini, ia membuatkan saya terfikir, G310 GS sesuai untuk pelbagai kegunaan. Memanglah jika dibandingkan dengan model yang mempunyai enjin lebih besar, ia akan kekurangan dalam aspek tunggangan di lebuh raya ataupun kelajuan tinggi.

Tetapi, apabila memikirkan ia sebuah motosikal kembara yang berenjin kapasiti 310 cc, ia sudah cukup padan, dan anda boleh menggunakannya bukan sahaja untuk mengembara, malah tunggangan harian juga tidak bermasalah kerana ia selesa, tegak dan ringan.