Minggu lalu, Lexus Malaysia mula buka tempahan bagi model Lexus LS 2018. Tak lama kemudian, model terbabit sudah dilihat di ibupejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya oleh Safuan Mahmud. Maka, kita boleh jangkakan pelancarannya tak lama lagi.

Sedan mewah yang dilihat itu ialah LS 500, yang menggunakan enjin 3.5 liter twin-turbo V6 yang menghasilkan 415 hp pada 6,000 rpm dan 600 Nm dari 1,600 hingga 4,800 rpm. Kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik Direct Shift 10-kelajuan.

Turut akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ialah LS 500h hibrid. Ia menggunakan sistem Multi-Stage Hybrid dari model LC 500h, menggandingkan enjin V6 3.5 liter (295 hp/350 Nm) V6 dengan motor elektrik (176 hp/300 Nm) untuk mendapatkan kuasa akhir 354 hp. Kotak gear automatik empat-kelajuan berkerja dengan dengan elektrik motor untuk menghasilkan simulasi transmisi 10-kelajuan.

Lexus Malaysia telah mengesahkan bahawa terdapat tiga varian LS yang akan ditawarkan, LS 500 Luxury, LS 500 Executive dan LS 500h Executive. Juga dilengkapi dengan Lexus Safety System serta fungsi bantuan pemandu. Ini termasuk Pre-Collision System (PCS) dengan pengesan pejalan kaki, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert (LDA), Lane Keeping Assist (LKA) dan Automatic High Beam (AHB).

Harga yang ditetapkan pula adalah seperti berikut; LS 500 Luxury (RM799,000), LS 500 Executive (RM999,000) dan LS 500h Executive (RM1,459,000). Semuanye merupakan harga atas jalan tanpa insurans dan termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.