Walaupun pengeluarannya telah ditamatkan tahun lalu, itu bukanlah penamat bagi Land Rover Defender. Sempena sambutan 70-tahun usia jenama itu tahun ini, Defender menerima “nyawa” baru; 150 unit terhad kini disediakan, dengan menggunakan enjin V8.

Defender Works V8 – 70th Edition adalah sebagai tanda hormat kepada model-model awal berkuasa tinggi yang pernah dikeluarkan, seperti Series III Stage 1 V8 dari tahun 1979 dan seterusnya, termasuk edisi ulangtahun ke-50 – dan bakal menjadi Defender yang paling berkuasa dan pantas yang pernah dikeluarkan.

Ia menggunakan enjin 5.0 liter petrol V8 yang menghasilkan 398 hp pada 6,000 rpm dan 515 Nm pada 5,000 rpm; jauh lebih berkuasa daripada Defender standard yang hadir dengan 120 hp dan 360 Nm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat dan laju maksimum 170 km/j. Cukup mengujakan untuk kenderaan 4×4 old-skool ini?

Kuasanya disalurkan menggunakan sistem transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dengan Sport Mode. Ditawarkan bagi kedua-dua model 90 dan 110, ia juga akan dilengkapi dengan lampu utama bi-LED, brek dan kit pengendalian (gelung, penyerap hentak dan palang anti-roll) yang dipertingkat serta rim 18-inci eksklusif dengan tayar untuk pelbagai permukaan bersaiz 265/65 R18.

Bahagian dalaman dihiasi dengan balutan kulit Windsor pada papan pemuka, panel pintu dan bumbung. Tempat duduk pula dari Recaro, serta sistem infotainmen klasik. Adala lapan pilihan warna diberikan semuanya. Ia akan dijual di UK dan Timur Tengah/Afrika Utara kelak.