Menerusi data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan pada bulan Disember 2017 menunjukkan peningkatan sebanyak 11.3%, iaitu dengan jumlah keseluruhan 54,729 unit kenderaan, berbanding pada bulan November 2017 dengan 49,184 unit. Jumlah keseluruhan TIV yang dicapai bagi tahun 2017 pula ialah sebanyak 576,635 unit.

Dan, jika dilihat dari pecahan mengikut jenama, kedudukan teratas dipelopori oleh jenama-jenama yang sudah sangat sinonim mendahului sejak beberapa waktu sebelum ini. Seperti biasa, ditempat teratas ialah Perodua yang mencatat jualan sebanyak 20,180 unit; peningkatan sebanyak 21.3% berbanding November 2017.

Ini diikuti pula oleh Honda dengan 11,221 unit, juga dengan peningkatan sebanyak 7.1% berbanding bulan sebelumnya. Ia diikut rapat oleh Toyota yang merekodkan jualan sebanyak 7,238 unit – peningkatan sebanyak 7% dari bulan sebelumnya.

Selain tiga jenama dikedudukan teratas ini, beberapa lagi jenama turut menikmati peningkatan yang sihat. Antara yang mencatat peningkatan paling ketara ialah Subaru (+28.2%), Volvo (+26.6%), Renault (+22.4%), Volkswagen (+13.8%) dan Mitsubishi (13.3%).

Bagi Proton pula, walaupun kekal ditempat keempat, jenama ini menyusut jualannya sebanyak 0.2% kepada 4,802 unit. Jenama-jenama lain yang berkongsi nasib yang sama ialah Mazda (-29.6%) dan juga Kia (-11.6%).