Yamaha Aerox-R 155 di Indonesia untuk tahun 2018 diperkenalkan dalam dua warna baru; Matte Silver dan Racing Yellow. Macam biasa nampak? Memanglah, kalau di Malaysia, ini model Yamaha NVX 155. Harga atas jalan model ini di sana ialah sebanyak 24.05 juta Rupiah (RM7,455).

Lain-lain kelengkapan, seperti soket kuasa memang ada ditawarkan untuk pengguna di sini, walaupun menjadi ciri tambahan terbaru untuk pasaran Indonesia. Aerox-R dilengkapi dengan cakera brek depan 230 mm dan jenis hidraulik.

Enjin silinder tunggal yang digunakan bersesaran 155 cc dengan sistem suntikan minyak EFI yang menghasilkan 14.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 14.4 Nm pada 6,000 rpm. Transmisinya menggunakan CVT dengan V-Belt. Bagi Aerox-R, penyerap hentak belakang datang dengan tabung gas.

Ciri-ciri lain yang unik pada model ini ialah penggunaan lampu LED dan paparan maklumat tunggangan melalui skrin LCD. Ia menggunakan rim 14-inci, dengan ruang barangan bawah tempat duduk berkapasiti 25 liter. Tangki minyaknya ialah 4.6 liter. Di Malaysia, Yamaha NVX 155 dijual pada harga RM10,500, termasuk GST.