Ke hadapan pengguna kenderaan plug-in hybrid,

Kami rasa sudah sampai masanya untuk kita bercakap tentang etika dan pemikiran wajar, memandangkan kini suasana sudah berubah, melihat kepada jumlah stesen pengecas dan bagaimana ia digunakan, serta bagaimana mereka yang sepatutnya mengatasi perkara ini tidak dapat berbuat apa-apa.

Suatu ketika dahulu, di kawasan awam, keadaan elok dan teratur pada kebanyakan masa. Pada masa itu, stesen mengecas kenderaan juga tidak banyak, dan jumlah kenderaan yang boleh menggunakannya dengan cara yang betul juga adalah sedikit. Jadi, tidak banyak perbalahan dan pada masa sama, masih ada si bodoh yang menggunakan petak khas untuk mengecas ini dengan meletakkan kenderaan mereka yang dikuasakan oleh bahan bakar fosil – biasanya kerana petak ini terletak di tempat paling mudah dan berdekatan dengan pintu masuk.

Orang jenis ini masih dan akan tetap wujud, tapi kali ini mari kita berikan perhatian kepada pengguna kenderaan PHEV sendiri. Peningkatan jumlah kenderaan PHEV sejak kebelakangan ini – disebabkan oleh insentif tertentu – bermakna terdapat banyak pengguna kenderaan PHEV dan mereka yang berfikiran sama seperti anda pastinya akan bertambah lagi.

Ada di antara anda mungkin membeli kenderaan jenis ini kerana percaya ia boleh menyumbang kepada alam sekitar yang lebih sihat dan menyelamatkan planet. Ada juga yang lain, membeli kerana teknologi; ia cukup maju dan mengganggapnya sebagai satu tahap evolusi automotif, dengan idea untuk mengurangkan kos mengisi bahan api. Walaupun begitu, kebanyakan yang lain cuma mendapatkan kenderaan jenis ini hanya kerana penjimatan yang boleh didapati daripada duti eksais dan juga cukai (berdasarkan taksiran berinformasi).

Apa pun sebabnya, kami ingin percaya bahawa anda semua cukup pintar untuk berhadapan dengan topik ini secara bijak. Dan tanpa mengira jenama mana yang anda miliki. Dalam kes yang kecoh sebelum ini, berkenaan tempat mengecas yang dipromosikan oleh Mercedes-Benz di Bangsar Shopping Centre (BSC), terdapat pengajaran yang boleh diambil. Secara ringkasnya, stesen mengecas boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang mahu menggunakannya, dan dalam cara yang betul.

Masalahnya di sini, tak ramai yang dapat melihat bagaimana cara betul yang dimaksudkan itu. Sakit mata kami melihatnya. Ada yang meletakkan kenderaan PHEV mereka begitu sahaja tanpa dicas, mungkin kerana ia adalah petak yang memudahkan. Dalam kes yang terjadi di BSC, mereka sengaja melakukannya hanya kerana mahu ‘bersenda’ dengan jenama lain – dengan duduk dalam petak tersebut, tapi kereta tidak dicas. Padahal, tiada sebarang caj dikenakan untuk mengecas kenderaan dan elektrik dibayar oleh pengendali tempat itu sendiri, iaitu BSC.

Kononnya melalui cara ini, mereka mahu menyatakan sesuatu, tapi yang lebih jelas boleh dilihat hanyalah kebodohan.

Satu lagi perkara yang perlu diambil kira adalah petak mengecas kenderaan ini bukanlah tempat meletak kenderaan hibrid – ia dibuat untuk pemilik kereta PHEV, atau EV (kereta elektrik) untuk mengecas kenderaan mereka. Walaupun ia adalah kemudahan untuk kenderaan mesra alam, ia bukan tempat untuk kenderaan hibrid, jadi jangan letak kenderaan di situ. Anda hanya akan menyusahkan pemilik sebenar kenderaan PHEV dan EV yang mahu mengecas kenderaan mereka.

Namun bagi pemilik PHEV dan EV sendiri, masih ada yang melakukannya dengan cara yang tidak betul. Walaupun mengecas kenderaan, mereka melihat petak itu lebih kepada memudahkan dan senang, dan akhirnya kereta mereka terletak di petak itu lebih lama daripada yang diperlukan. Pendekatan yang perlu diambil adalah seperti di stesen minyak – anda isi berapa yang mahu, kemudian beredar.

Semua ini menunjukkan betapa buruknya perangai manusia boleh jadi, apabila barang atau servis seperti ini diberikan percuma dan dijadikan mudah. Adakah penguatkuasaan seperti mengunci tayar dan mengenakan saman dapat mengatasi perkara ini? Sudah tentu, tapi nanti pasti ada perkara lebih buruk akan terjadi, sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku.

Sekarang ini, teknologi moden yang baru tiba di negara kita memerlukan pemikiran yang sama maju dan objektif, bukannya perangai yang biadab dan hanya pentingkan diri sendiri. Jika anda adalah pemilik kenderaan PHEV, jangan burukkan keadaan dengan menjadi si bodoh. Jangan letakkan kenderaan anda di petak mengecas, tapi kereta itu sendiri tidak dicucuk kepada sumber elektrik. Jika anda mempunyai kenderaan PHEV, dan percaya pengecasan ini sepatutnya dilakukan oleh enjin kenderaan itu sendiri, letakkan saja kenderaan di petak letak kereta biasa.

Jika anda betul mahu mengecas kenderaan, sila berikan perhatian bahawa ada juga pemilik lain yang mahu menggunakan kemudahan ini. Cas-lah seberapa banyak yang anda mahu, demi menjimatkan wang dalam dompet anda, tapi bila sudah penuh, silakanlah keluar dari tempat itu supaya pemilik lain juga boleh menggunakannya.

Lagipun, tiada alasan untuk anda tidak berbuat demikian. Kebanyakan PHEV sekarang mempunyai aplikasi khas yang boleh memberitahu bila kenderaan sudah dicas penuh. Di sesetengah tempat mengecas, mereka juga ada meletakkan peringatan supaya tidak duduk terlalu lama di tempat mengecas tersebut (di Empire Subang, pengecas ChargeEV hanya boleh digunakan untuk maksimum tiga jam bagi setiap pengguna). Ingat, elektrik itu mungkin adalah percuma, tapi ia bukan petak letak kereta khas untuk anda sahaja.

Lebih penting, anda tidak boleh fikir berkenaan jenama – tak kisahlah apa pun model kenderaan anda, kerana anda semua dalam satu pasukan. Dengan perangai yang tidak sepatutnya ini, ia akhirnya nanti hanya akan menyusahkan diri anda sendiri juga nanti.

Yang benar,
Paultan.org