Perkembangan teknologi kenderaan elektrik kini bertambah menarik. Terbaru, Jaguar telah mendedahkan model elektrik sepenuhnya yang pertama jenama itu, I-Pace akan diperkenalkan kepada dunia 1 Mac ini. SUV berkenaan sebelum ini dipertontonkan dengan nama sama sebagai model konsep pada 2016.

Jenama pengeluar dari Britain itu menyifatkan I-Pace sebagai “kenderaan harian yang sempurna untuk apa saja – urusan seharian atau malah boleh diharapkan ketika cuaca di bawah suhu sifar.” Seperti yang terlihat pada gambar ini, proses pembangunan model berkenaan turut melibatkan ujian dalam keadaan ekstrem.

Dalam hal ini, I-Pace dibawa ke Artik, di kemudahan ujian musim sejuk Jaguar Land Rover di Arjeplog, Sweden, dengan suhu yang boleh jatuh ke tahap -40 darjah celsius. Persekitaran beku seperti itu juga baik untuk memerhatikan prestasi sistem pacuan semua roda elektrik yang digunakan.

Walaupun perincian lanjut tentang sistem janaan kuasa model ini belum didedahkan, Jaguar bagaimanapun ada memberi petunjuk terhadap keupayaan mengecas yang pantas. Difahamkan, hanya dalam masa 45 minit, bateri yang ada padanya boleh mencapai 80% penuh, asalkan ia menggunakan penegcas 100kW DC. Kalau dirujuk pada kenyataan 2016 lalu, Jaguar menyatakan tempoh yang diperlukan untuk sampai ke tahap yang sama bagi bateri lithium-ion 90 kWh ialah 90 minit menggubakan pengecas 50 kW DC.

Jika sama seperti model konsep ketika itu, unit produksi ini nanti dijangka akan mampu memberikan jarak perjalanan 500 km (kitaran NEDC). Baterinya dipasang pada lantai pada platform khusus untuk kenderaan elektrik. Sistem pada model konsep SUV ini dahulu mampu menghasilkan 400 PS/700 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 4 saat.