Volkswagen Golf sepanjang pengelanannya sejak 1974 menjadi model paling popular pengeluar Jerman itu dengan jumlah jualan mencecah 34 juta unit. Dan, kita tahu model generasi kelapannya (Mk8) akan mula dikilangkan seawal Jun 2019.

Setakat ini, masih belum ada banyak berkaitannya yang kita ketahui, melainkan beberapa hal seperti kelengkapan teknologi pemanduan dengan fungsi autonomous. Dari sudut rekaan, Golf Mk8 masih lagi rahsia, dan pilihan terbaik untuk membayangkannya ialah melalui imej render – seperti biasa oleh Theophilus Chin.

Rekaan yang ditampilkan ini menggunakan pendekatan profil yang hampir sama seperti model sebelumnya, dengan iras model Polo. Ciri tambahan terbaru yang ditampilkan adalah seperti lampu utama dengan DRL LED dan dua dua projektor dikedua-dua sisi (tidak seperti Jetta), lampu isyarat mengambil bentuk melintang dengan LED.

Rim dengan rekaan Y digunakan pada unit bayangan ini, dan kalau dilihat lebih dekat, unit ini turut dilengkapi dengan bumbung panoramik. Di belakang, lampunya mengambil inspirasi dari Jetta, melengkapkan rekaan hatchback yang ada. Apa pandangan anda tentang imej render ini?