Lakaran digital yang sedang anda lihat ini ialah bagi model Skoda Vision X, sebuah kereta konsep yang akan buat penampilan di Geneva Motor Show bulan depan. Ia akan menjadi pendekatan SUV urban kompak yang akan diposisikan di bawah model Skoda Karoq dan Skoda Kodiaq.

Skoda menyifatkan Vision X sebagai sebuah kenderaan yang serasi dengan gaya hidup urban yang aktif, selayaknya dengan sebuah SUV. Lakaran ini menggunakan warna FlexGreen dan dipadankan dengan bumbung hitam serta rim aloi 20-inci.

Bahagian dalaman juga menunjukkan arah tuju baru bagi rekaan yang akan digunakan untuk model-model akan datang jenama yang bernaung di bawah Volkswagen Group ini. Rekaletak papan pemuka lebih tebuka dan lebar, dengan paparan visual ditengah.

Menurut Skoda, elemen pencahayaan dengan warna badan yang ditunjuk ini mencadangkan kesan lampu untuk melahirkan suasana atmosferik yang lebih elegan.

Dari laporan Autocar pula, produksi Vision X ini dijangka tidak akan diasaskan pada model Fabia, tetapi menggunakan platform MQB A0 daripada Volkswagen – yang turut digunakan pada model-model dalam segmen yang sama seperti Seat Arona dan Volkswagen T-Roc.

Model konsep ini kemungkinan akan menggunakan sistem janaan hibrid. Ada juga laporan yang menyebut nama-nama seperti Amiq dan Anuq telah di daftarkan secara rasmi (trademark), tetapi itu tak selari dengan kaedan penamaan yang Skoda guna untuk barisan SUV-nya, yang bermula dengan huruf ‘K’.