Oktober tahun lalu, Honda telah melancarkan semula model lagenda mereka iaitu Super Cub, yang boleh didapati dalam versi yang menggunakan enjin 109 cc dan 49 cc di Jepun, dan kemudiannya diikuti di Thailand Januari lalu. Terbaru, syarikat itu memperkenalkan versi yang lebih ranggi dikenali sebagai Cross Cub.

Asas motosikal ini masih sama seperti versi standard, iaitu menggunakan enjin suntikan bahan api empat strok 109 cc satu silinder berkuasa 8 PS/ 8.5 Nm untuk Cross Cub 110, dan enjin 49 cc 3.7 PS/ 3.8 Nm untuk Cross Cub 50, bersama padanan kotak gear empat kelajuan.

Menjadikan model Cross Cub ini istimewa adalah ia mempunyai gaya lebih ranggi – seperti inspirasi daripada motosikal jelajah, tetapi masih menggunakan tayar yang lebih kepada penggunaan di atas jalan biasa. Bahagian pemegangnya lebih lebar, panel pelindung kaki dibuang dan diganti dengan pelindung enjin, lampu utama LED padanya diletakkan rendah dan mempunyai pelindung, ekzos dengan pelindung dan panel meter mempunyai grafik camouflage.

Bagi versi Cross Cub 110, ia dilengkapi dengan rim 17 inci jenis jejari (spoked) berwarna hitam, manakala Cross Cub 50 mempunyai rim lebih kecil, seperti Super Cub Pro, iaitu bersaiz 14 inci untuk menjadikan ia lebih mudah dikendali di kawasan sesak. Kedua-dua model ini juga boleh dipasang dengan tempat duduk belakang.

Harga tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain yang disiarkan untuk Cross Cub 110 adalah 334,800 yen (RM12,004), manakala untuk Cross Cub 50 pula adalah 291,600 yen (RM10,455). Ini sekaligus menunjukkan ia sedikit mahal berbanding Super Cub biasa yang dijual pada harga 275,400 yen (RM10,299) untuk Super Cub 110 dan 232,200 yen (RM8,683) untuk Super Cub 50.