GALERI: Honda Amaze 2018 di India Auto Expo

GALERI: Honda Amaze 2018 di India Auto Expo

Semalam kami melaporkan bahawa sedan segmen-A Honda Amaze generasi baharu telah membuat kemunculan sulung globalnya di India Auto Expo 2018. Hari ini kami bawakan pula galeri lebih jelas sedan kecil berkenaan, ehsan dari portal IndianAutosBlog.

Amaze generasi kedua ini telah menerima rekaan baharu sepenuhnya, namun ia masih lagi kekal sebagai sedan entry-level dengan dimensi sub-empat meter. Berbanding model sebelum ini, Amaze baharu berkenaan direka lebih garang dengan diberikan bar krom lebih tebal pada gril hadapan diinspirasikan dari rekaan Civic generasi ke-10.

Gril berkenaan diapit dengan sepasang lampu lebih tirus dari sebelum ini, manakala bampar pula menampilkan bahagian lampu kabus yang lebih kecil. Namun disebabkan bahagian hidung yang tinggi tetapi dengan saiz keseluruhan yang pendek, kereta ini kelihatan agak pelik jika dilihat dari sisi.

GALERI: Honda Amaze 2018 di India Auto Expo

Tiang-A kereta ini juga tidak direka tirus untuk lebih kelihatan sporty – nampaknya rekaan tersebut lebih menjurus untuk mendapatkan bahagian kabin yang lebih luas dengan ruang terhad tersebut. Badan kereta ini juga hanya menampilkan satu garisan badan ringkas yang menghubungkan lampu hadapan dan lampu belakang.

Kereta ini turut diberikan lampu belakang baharu yang kelihatan seperti Civic FB atau Perodua Bezza. Kemasan pada penutup but belakang yang menghubungkan kedua-dua lampu serta mewujudkan ruang nombor pendaftaran pula direka dengan dua versi berbebeza – pertama mempunyai bar krom merentanginya bersama logo ‘H’ ditengah, dan kedua tanpa bar tersebut.

Rekaan dalaman Amaze juga berbeza dari sebelum ini, yang menampilkan rekaan papan pemuka lebih menegak. Papan pemuka baharu ini menampilkan liang dan pengawal penghawa dingin serta sistem infotainmen yang dipisahkan dengan jelas, serta menerapkan rekaaan yang lebih mengikut peredaran semasa.

GALERI: Honda Amaze 2018 di India Auto Expo

Amaze juga diberikan rekaan roda stereng baharu, yang bukan sahaja berbeza dari model sebelumnya, malah tidak sama dengan roda stereng model terkini Honda lain dengan menampilkan bahagian tengah empat segi yang kecil. Roda stereng berkenaan juga diberikan kawalan infotaimen serta cruise control.

Begitu juga dengan paparan instrumen, ia kini diberikan kluster baharu dengan rekaan dua-pod, berbanding rekaan tiga-gelung pada model sebelumnya.

Walau bagaimanapun, Honda masih lagi belum mendedahkan pilihan enjin yang diberikan pada model ini. Untuk model terdahulu, Amaze dijana enjin petrol 1.2 liter i-VTEC dan juga pilihan enjin diesel 1.5 liter i-DTEC. Dalam gambar ini juga mendedahkan, Amaze akan terus diberikan pilihan kotak gear lima-kelajuan manual, dan kami jangkakan transmisi CVT diberikan untuk versi automatik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required