Sebelum ini, SUV segmen B terbaru Geely pernah didedahkan. Kini, satu lagi imej model terbaru sedan kompak pengeluar China itu bocor diinternet, melalui CarNewsChina. Gambar yang sedang anda lihat ini ialah bagi model Geely SL, yang dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran China pada separuh kedua tahun ini.

Menurut laporan awal, model berkenaan akan diposisikan antara Emgrand GL dan Borui, dengan dua enjin turbocaj ditawarkan. Yang pertama ialah enjin 1.0 liter tiga-silinder yang menghasilkan 134 hp dan 180 Nm, sementara satu lagi enjin 1.4 liter empat-silinder dengan janaan 131 hp dan 215 Nm.

Dari segi dimensi binaannya, Geely SL mempunyai 4,680 mm panjang, 1,785 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak antara roda 2,670 mm. Berbanding Emgrand GL, model ini 48 mm lebih panjang dengan jarak antara roda kurang 20 mm dan lebih sempit 4 mm. Ia juga lebih rendah 10 mm.

Rekaan yang ditampilkan pula membawa kesinambungan yang sama seperti model-model terkini Geely yang pernah kita lihat. Gril diampit oleh lampu utama dengan rekaan bersegi, sementara bahagian bawah bampar mempunyai bucu masukan udara yang luas.

Di belakang, kemasan krom menghubungkan lampu di sisi, dengan logo Geely ditengah. Ruang corong ekzos pula ada dua, bersekali pada bahagian bawah bampar belakang berkenaan, memberikan imej yang lebih kemas untuk sedan ini.