Susulan daripada perkembangan semasa berkaitan isu pengedar Bumiputera Proton dan naik taraf kepada pusat 3S/4S, Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menyatakan ada dua perkara yang akan dibangkit pihaknya selepas ini.

Dalam satu sidang media yang diadakan siang tadi (yang turut dihadiri oleh wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa), Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman memaklumkan dua perkara itu adalah kelonggaran untuk dilanjutkan tempoh naik taraf pengedarnya kepada pusat 3S/4S dan kedua, meminta kerajaan untuk menyediakan pinjaman mudah dari tabung dana automotif yang dikutip dari ahli-ahli Pekema (sebanyak RM10,000 bagi setiap AP) sejak sebelum ini lagi untuk tujuan naik taraf itu.

Bagi tempoh naik taraf, Pekema menyatakan ahli-ahlinya dimaklumkan perlu berbuat demikian sebelum Oktober tahun ini, dan untuk itu, mereka ingin meminta dipanjangkan tempoh berkenaan hingga bulan Disember tahun 2020. Pekema mendakwa, notis naik taraf dan segala perubahan yang perlu dilakukan itu terlalu singkat dan pihak Proton tidak berbincang terlebih dahulu dengan pengedar-pengedarnya yang lain – termasuklah segelintir yang turut menjadi ahli Pekema, yang kemudiannya membangkitkan isu ini.

Tetapi, dalam jawapan balas Proton semalam, tempoh naik taraf itu paling akhir memang telah dinyatakan pada tahun 2020 bagi semua pusat 1S beralih kepada pusat 3S/4S. Jangka waktu sehingga Oktober 2018 itu diberikan adalah bagi mereka yang mampu berbuat demikian, sekaligus akan diberi keutamaan untuk menjual model SUV terbaru Boyue.

Jika ada pengedar yang tidak mampu, itu tidak menjadi masalah, cuma mereka tidak boleh menjual model Boyue yang akan dijadikan model flagship Proton selepas ini (bermula dari aspek produk sehinggalah pengalaman keseluruhan pelanggan, yang menjadi matlamat baru Proton).

Berkaitan tabung dana automotif pula, Zainuddin mendakwa, dana terkumpul setakat ini sudah mencecah RM3 bilion, hasil kutipan sebanyak RM10,000 bagi setiap AP dari ahli-ahli Pekema setakat ini. “Daripada jumlah berkenaan, 40% memang telah diperuntukkan untuk kegunaan Pekema. Jadi kami minta agar kerajaan mempertimbangkan untuk kami gunakan dana itu bagi tujuan naik taraf ini,” ujar beliau.

Esok, pengedar-pengedar Proton sedia ada dijangka akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada jam 3 petang untuk membincangkan perkara ini serta hal-hal berkaitan yang lain. Sementara itu, menurut Zainuddin sendiri, pihak Pekema juga akan mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar minggu hadapan.

Melihat kepada perkembangan hal ini, dan kelantangan Pekema menyuarakan tuntutan mereka, pasti ada yang tertanya-tanya berapakan jumlah sebenar ahli-ahli Pekema yang juga merupakan pengedar Proton? Angka yang diperoleh daripada Zainuddin sendiri adalah seperti berikut; keseluruhannya, ada 25 syarikat ahli Pekema yang menjadi pengedar Proton, dan 11 daripadanya masih lagi pada tahap pusat 1S.

Berapa pula jumlah keseluruhan pengedar Proton di negara ini? Anggarannya ialah sekitar 400 pengedar. Dan, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton semalam, keseluruhan pengedarnya yang masih beroperasi sebagai pusat 1S menjangkau 70% daripada jumlah berkenaan. Anda rasa, jika anda berada di dalam kedudukan Proton sekarang ini, suara atau kepentingan kelompok mana yang harus dilayan dahulu?