Proton jawab Pekema berkaitan dakwaan dan isu-isu berbangkit melibatkan rangkaian pengedar Bumiputera

Proton jawab Pekema berkaitan dakwaan dan isu-isu berbangkit melibatkan rangkaian pengedar Bumiputera

Susulan daripada laporan berkaitan dakwaan oleh Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) bahawa rangkaian pengedar Bumiputera yang semakin terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – seperti yang diterbitkan oleh akhbar Mingguan Malaysia sebelum ini – Proton tampil memberikan penjelasan terhadap semua isu yang dibangkitkan itu.

Secara keseluruhannya, Proton mengakui bahawa keadaan syarikat seperti yang semua sedia maklum berada dalam situasi yang begitu mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Suasana pasaran juga sudah berubah, jangkaan daripada pelanggan juga tidak lagi sama – semuanya tidak lagi seperti dulu, dan Proton menyedari hakikat itu. Maka, untuk kembali bersaing, tak ada jalan lain lagi yang boleh diambil kecuali bergerak pantas dan melakukan perubahan seiring dengan keperluan semasa.

Di atas faktor untuk meneruskan kelangsungan operasi dari segenap sudut inilah, menurut Proton, segala perancangan dan dasar-dasar baru itu sangat wajar diperkenalkan. Syarikat itu memberi contoh, misalnya mengapa Proton perlu segera beralih kepada menaik taraf pusat 3S/4S – bagi keseluruhan rangkaian pengedar Proton, hanya 30% sahaja beroperasi dari pusat 3S/4S ini, berbanding 64% bagi rangkaian jenama Jepun terkemuka di Malaysia.

Ini kemudiannya membawa kepada faktor memenuhi jangkaan pelanggan dari sudut persaingan dari jenama lain. Memang, sejak beberapa tahun sebelum ini, akibat banyak masalah dalaman dan kewangan yang dihadapi syarikt, Proton mengakui syarikat itu ketinggalan jauh dari segi teknologi produk yang ditawarkan.

Proton jawab Pekema berkaitan dakwaan dan isu-isu berbangkit melibatkan rangkaian pengedar Bumiputera

Tambah menyulitkan keadaan, Indeks Kepuasan Jualan (SSI) dan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) Proton mendapat skor yang rendah disebabkan kurangnya pusat 3S/4S yang secara umum memberikan layanan yang lebih baik dan menyeluruh kepada pelanggan, dan bukannya sekadar menjual kenderaan semata-mata tanpa perlu menjalankan khidmat lain untuk pelanggan seperti di pusat 1S yang ada.

Bagi Proton, ini adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian sekarang. Tentunya, banyak lagi aspek yang perlu diteliti, dan amalan-amalan yang diterima pakai sebelum ini sekiranya ia tidak selari dengan matlamat baru Proton untuk kembali bersaing dengan cemerlang perlu dinilai semula. Kerana, keadaan tidak lagi sama seperti dahulu. Berubah sekarang atau terus ketinggalan, hanya ada dua pilihan ini sahaja untuk syarikat itu.

Bagi menghuraikan setiap satu dakwaan yang diajukan oleh Pekema terhadap hal-hal berkait yang dibangkitkan oleh Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman, berikut merupakan penjelasan Proton dari satu kenyataan media yang dikeluarkan secara rasmi.

Menjelaskan kenyataan yang dibangkitkan oleh Pekema
Berikutan dengan kenyataan yang dibangkitkan oleh Pekema, Proton ingin menjelaskan mengenai perkembangan model perniagaannya.

1. Berikutan dengan kekurangan masa yang diberikan kepada pengedar untuk menaik taraf cawangan 1S mereka kepada cawangan 3S/4S, pengedar disarankan menaik taraf cawangan mereka dalam tempoh yang telah dipanjangkan dari 2018-2020. Sasaran untuk tahun 2018 adalah untuk menambah bilangan cawangan 3S yang terletak di seluruh negara, yang akan meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan dengan pengenalan model-model baharu kami bermula 2018. Pada masa kini, pengedar 3S/4S di seluruh negara, bersamaan dengan hanya 30% daripada jumlah pengedar kami. Proton sedar bahawa sejumlah wang yang besar perlu dibelanjakan oleh pengedar bagi mengambil langkah ini. Oleh itu, kami memperkenalkan skim khas yang menawarkan sokongan pendahuluan untuk membantu pengedar menaik taraf ke premis baharu. Di samping itu, pengedar-pengedar ini turut akan menikmati margin tambahan pada kereta yang dijual selama sehingga tiga tahun.

2. Sebelum ini, pengedar Proton menikmati margin sebanyak 4% berdasarkan jumlah bulanan bagi 40 unit yang telah dipersetujui bersama Proton untuk memenuhi syarat bagi insentif jualan mereka. Kami kini telah menyemak semula skim ini dengan menurunkan halangan tersebut untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan keseluruhan bagi pengedar. Skim ini selaras dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh pengedar dan Proton akan terus memantau keadaan untuk memastikan pertumbuhan perniagaan dapat dicapai. Di samping itu, Proton juga menyediakan skim insentif suku tahunan sepanjang tahun, di mana pengedar boleh memperoleh pendapatan tambahan dengan melangkaui sasaran jualan mereka. Proton juga menyediakan sokongan insentif negeri untuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pengedar.

3. Amalan industri di Malaysia adalah untuk syarikat automotif menuntut wang tunai sebelum penghantaran atau untuk menyediakan sehingga 14 hari kredit kepada pengedar. Memandangkan keadaan kompetitif yang dihadapi pengedar, Proton telah memanjangkan tempoh ini sehingga 60 hari dengan terma dan syarat tertentu. Ini adalah satu usaha khas yang ditawarkan oleh Proton untuk membantu memudahkan pengedar menguruskan aliran tunai mereka kerana mereka berusaha untuk mengaturkan jualan. Dengan berbuat demikian, pengedar akan mempunyai lebih masa untuk memindahkan stok semasa mereka tanpa perlu bimbang akaun mereka akan disekat.

4. Sistem Bayaran Selepas Pendaftaran (PAR) tidak dipraktikkan oleh syarikat automotif lain di Malaysia. Proton telah memutuskan untuk menamatkan skim tersebut untuk memudahkan keadaan kewangan Syarikat yang tegang. Pada masa kini, Proton membiayai sebanyak RM650 juta setahun untuk pengedarnya. Sekiranya kami terus mempraktikkan PAR, jumlah yang perlu dibayar kepada Proton oleh para pengedar akan meningkat, menyebabkan kesan negatif terhadap aliran tunai Syarikat.

5. Untuk mempromosikan jualan kepada pelanggan fleet korporat, Proton meneruskan pakej istimewa kepada pelanggan korporat yang berminat, persatuan, organisasi dan institusi, tertakluk kepada terma dan syarat tertentu. Pengedar digalakkan untuk memberi tumpuan kepada jualan runcit kerana jualan fleet korporat melibatkan jumlah pegangan yang sangat kecil, yang menyumbang kurang daripada 5% daripada jumlah keseluruhan jualan kereta Proton pada tahun 2017.

6. Merujuk kepada isu persaingan yang tidak sihat antara pengedar, kami ingin menegaskan bahawa skim margin dan insentif baharu yang dirujuk dalam perkara 2 di atas juga bertujuan untuk mengelakkan pemasaran tidak sepatutnya dalam kalangan pengedar. Proton juga berpandukan dengan undang-undang dan peraturan negara seperti Akta Anti-Persaingan.

7. Selepas menandatangani perjanjian perkongsian strategik, Proton telah menubuhkan pelan perniagaan selama 10 tahun yang memberi tumpuan kepada elemen-elemen utama yang terdiri daripada produk, operasi dan pertumbuhan jualan. Kajian terperinci telah dijalankan ke arah strategi produk yang komprehensif untuk memperkenalkan model baharu dalam tempoh lima tahun akan datang. Oleh kerana penyerapan teknologi yang maju, kepakaran dan modal rakan kongsi kami, kami yakin Proton berada di landasan menuju ke arah pemulihan dan pertumbuhan yang mampan.

8. SUV baharu, yang akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini akan diposisikan sebagai tanda aras teknologi kepada Proton. Oleh kerana ia akan diposisikan sebagai model premium Proton, pengalaman jualan dan servis akan diuruskan dengan teliti untuk memuaskan kehendak pelanggan. Oleh itu, cawangan 3S/4S Proton akan menjalankan jualan SUV secara eksklusif. Walau bagaimanapun, cawangan 1S masih akan dibenarkan untuk menjual SUV melalui cawangan 3S/4S yang terletak berdekatan dengan cawangan mereka. Akhirnya, semua pengedar akan berpeluang menjual model baharu selagi semua keperluan telah dipenuhi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required