Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

Kalau anda mengikuti perkembangan Proton untuk beberapa waktu kebelakangan ini, antara perkara yang menjadi keutamaan syarikat itu ialah berkaitan naik taraf rangkaian pengedarnya – dari keadaan sebelum ini menjadi pusat 3S/4S.

Setakat ini, perkara itu sudah menggerakkan usaha itu untuk menjadikannya kenyataan, secara berperingkat, dengan terdapat beberapa kumpulan terawal pengedar yang sudah diumumkan atau dimeterai persetujuan antara pihak-pihak terlibat untuk tujuan itu.

Itu hanyalah satu daripada pembaharuan yang sedang dilakukan Proton. Tentunya, terdapat banyak lagi hal-hal pentadbiran, amalan operasi serta pendekatan dan dasar yang diguna pakai sebelum ini dinilai semula oleh pengurusan baru di bawah seliaan Geely, yang kini diterajui oleh Dr Li Chunrong selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Semuanya dengan satu matlamat; memperkemas sistem dan menjadikan Proton lebih berdaya saing dari segenap sudut operasinya.

Tetapi, merujuk kepada satu laporan yang diterbitkan oleh akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini, ada isu-isu berbangkit melibatkan kelangsungan operasi bagi rangkaian pengedar Bumiputera Proton. Di dalam satu wawancara bersama Presiden Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman, beliau menyifatkan sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil, kemungkinan nasib wakil jualan dan vendor bumiputera Proton akan terjejas teruk. “Saya rasa semuanya akan bungkus, mati,” jelas Zainuddin.

Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

Apa masalah yang sedang dihadapi ketika ini? Memetik laporan itu lagi, terdapat sembilan perkara utama yang dibangkitkan oleh syarikat wakil jualan Proton yang juga merupakan ahli Pekema. Senarai permasalahan yang timbul daripada pelaksanaan dasar-dasar baru di dalam Proton yang didakwa membebankan pengedar Bumiputera Proton adalah seperti berikut:

1. Tempoh yang singkat iaitu kurang setahun untuk dinaik taraf daripada 1S kepada 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) bagi membolehkan wakil jualan ini menjual model baharu Geely-Proton, Boyue. Untuk naik taraf ini sahaja, pengedar perlu melabur antara RM3 juta hingga RM5 juta sedangkan jualan kereta Proton sekarang secara purata yang dapat dijual hanya sekitar 20-30 buah sebulan. Ada banyak faktor kereta tidak boleh dijual terutamanya disebabkan bank ketatkan syarat pinjaman dan wujudnya ‘double-standard’ oleh pihak bank terhadap Proton berbanding jenama kereta yang lain. Jenama lain lebih mudah mendapat kelulusan pinjaman berbanding jenama Proton.

2. Pengurangan margin kepada tiga peratus berbanding empat peratus sebelum ini. Walaupun ada beberapa insentif galakan yang hampir mustahil, apatah lagi Proton tetapkan sasaran jualan yang sukar dicapai dalam keadaan pasaran sekarang.

3. Mengenakan pelbagai caj dan faedah kepada wakil jualan sekiranya kereta tidak dijual dalam tempoh 14 hari. Faedah akan dikenakan sebanyak 10.35 peratus setahun pada hari ke-15 dan seterusnya.

4. Fasiliti kewangan iaitu PAR (Payment After Registration) yang akan dimansuhkan pada 1 Mac 2018 pasti turut membebankan para wakil jualan dalam situasi sekarang, yang mana jualan semakin merosot sehingga tidak dapat menampung kos operasi bulanan. Kita mohon Proton teruskan fasiliti PAR ini. Kita tidak mahu kemudahan ini ditarik balik kerana membantu syarikat jualan dalam pasaran yang penuh kesukaran.

5. Proton juga mengenakan sistem ‘block’ di mana stok yang masih belum terjual dan belum dijelaskan pembayaran kepada Proton selepas tempoh 60 hari, akan menyebabkan sistem wakil jualan disekat operasinya. Segala urusan agihan stok juga disekat. Ini akan menjejaskan proses perjalanan urus niaga dan memberikan imej yang tidak baik kepada para pelanggan. Oleh itu Proton perlu bertimbang rasa dan eloklah diteruskan pemberian kemudahan kepada wakil jualan agar dapat meningkatkan jualan bulanan, bukan mengenakan berbagai-bagai sekatan kepada wakil-wakil jualan.

6. Proton dilihat bergantung kepada model SUV baru yang bernama Boyue bagi mengembalikan pasaran Proton. Kita doakan Proton berjaya. Namun, bolehkah model baru ini kembali meningkatkan jualan Proton memandangkan dengan harga anggaran RM100,000, pengguna mempunyai banyak pilihan untuk membeli kereta jenama lain yang lebih mereka yakini.

7. Pemberian diskaun khas sebanyak 10 peratus kepada Persatuan Hokkien, kakitangan Petronas dan DRB-Hicom dan institusi kewangan (termasuk ahli keluarga terdekat) juga menjejaskan jualan kenderaan dalam kalangan wakil jualan. Ini kerana, pembeli hanya boleh membeli daripada pengedar Proton sendiri dan bukan daripada wakil jualan. Jelas ini satu diskriminasi kepada wakil jualan kerana mereka tidak dapat memberi diskaun khas.

8. Proton juga perlu bertegas mengawal persaingan yang tidak sihat sesama wakil jualan Proton. Proton perlu mengambil tindakan terhadap wakil jualan yang memberi diskaun yang melampau yang kebanyakannya dilakukan oleh wakil bukan bumiputera dan ini telah pun “membunuh” banyak wakil jualan Bumiputera yang terpaksa tutup kerana tidak mampu bersaing dan menghadapi kerugian yang berterusan. Pengurusan dilihat berpeluk tubuh dan tidak buat apa-apa untuk mengawal persaingan yang tidak sihat ini.

9. Orang yang menjaga perancangan dan pembangunan wakil jualan Proton diketuai oleh seorang bukan Bumiputera yang tentunya tidak mempunyai jiwa untuk membantu Bumiputera. Beliau telah memberi berbagai tekanan dan tidak memberi pilihan kepada wakil jualan Bumiputera 1S dalam usaha untuk naik taraf kepada 3S. Tidak ada kompromi atau rundingan.

Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

Berkaitan naik taraf kepada pusat 3S/4S, Zainuddin menyatakan permintaan itu agak tidak logik. “Nak beli tanah dan tukar nama pun memakan masa lebih enam bulan. Tetapi pengurusan baru Proton tetapkan syarat-syarat ketat iaitu wajib naik taraf ke 3S dalam tempoh kurang setahun. Sudah tentu ini sukar direalisasikan oleh wakil jualan Bumiputera,” tambahnya.

Menurut laporan yang sama lagi, naik taraf kepada pusat 3S/4S perlu dilakukan antaranya sebagai persiapan pengenalan model SUV baru, Boyue. “Kita difahamkan pihak Proton dengan bantuan kerajaan akan membawa masuk sejumlah besar secara CBU Boyue dengan insentif istimewa daripada kerajaan bagi menggalakkan jualan Proton di pasaran. Malangnya CBU Boyue ini difahamkan akan diberi kepada wakil jualan Proton 3S sahaja. Ini satu lagi diskriminasi secara halus kepada wakil jualan Bumiputera 1S yang tidak diberi hak untuk menjual CBU Boyue,” jelas beliau lagi.

Lebih memburukkan keadaan dan menjadi antara kekangan yang dihadapi oleh pengedar Bumiputera adalah jualan kenderaan Proton yang tidak memberangsangkan sejak beberapa tempoh kebelakangan ini. “Sekitar 2015 hingga 2016, saya difahamkan mereka menjual antara 40 hingga 50 unit sebulan. Bagaimanapun, jualan Proton tahun lalu menurun kepada 70,991 unit berbanding 72,291 unit pada 2016.

“Saya tahu ada banyak kekangan yang dihadapi oleh wakil-wakil jualan ini. Antaranya, dari segi pembayaran gaji minimum dengan rata-rata mereka mempunyai 15 pekerja termasuk ejen. Kalau hanya dapat jual secara purata 20-30 buah kereta sebulan bagaimana mereka nak menampung kos operasi, sewa bangunan, bayaran gaji pekerja dan sebagainya?” tambah beliau.

Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

Dan, menurut Zainuddin, antara faktor yang meletakkan pengedar Bumiputera dalam situasi yang sukar adalah disebabkan prestasi Proton sendiri. “Selain sudah lama tidak mengeluarkan model baru (Persona dikeluarkan penghujung 2016), pengguna juga semakin hilang keyakinan dan ini menyebabkan penguasaan pasaran jatuh.

“Dalam masa sama, prestasi Proton dalam tempoh enam hingga tujuh tahun ini asyik bertukar tangan dari Khazanah Nasional Berhad dan kemudiannya DRB-Hicom Berhad yang menunjukkan satu ‘bentuk penyelesaian yang kukuh’. Ini menyebabkan pengedar tidak tahu hala tuju dan ambil keputusan untuk teruskan perniagaan walaupun menanggung kerugian.” jelasnya lagi.

Dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang memberikan jaminan bahawa Proton tidak akan dibiarkan terumbang-ambing dan kerajaan akan sentiasa menghulurkan bantuan untuk memajukan lagi Proton dipersada dunia.

Apa pun perselisihan faham yang timbul antara pihak pengurusan baru Proton dengan rangkaian pengedar Bumiputera, kami berharap ia dapat dibincangkan dengan elok dan keputusan yang diambil kelak akan dapat memberi manfaat kepada semua kelompok yang berkepentingan, termasuk yang paling utama tentunya kepada pengguna.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required