Sejak beberapa tahun ini, Subaru makin agresif memperkenalkan model konsepnya di kebanyakan pertunujkan automotif besar. Bulan hadapan bakal berlangsungnya Geneva Motor Show, Subaru juga tidak ketinggalan untuk memprebiu Subaru Viziv Tourer Concept, dan sebelum itu imej rasminya telah pun ditunjukkan di sini.

Selalunya nama bagi model konsep Subaru Viziv ini memberikan bayangan bagi jenis kereta yang bakal dipertontonkan. Bagi Viziv Performance Concept, ia adalah asas penggayaan bagi model akan datang WRX, sementara Viziv-7 Concept yang dipertontonkan pada 2016 pula mirip dengan Subaru Ascent SUV yang diperkenalkan pada tahun selepasnya.

Ada ‘Tourer’ pada nama Viziv Tourer Concept, dan imej yang ditunjukkan ini memungkinkan ia wagon, jadi secara tidak langsung ia memberikan gambaran awal bagi Subaru Levorg generasi akan datang. Walau bagaimana pun, perincian mengenai model konsep tersebut masih belum didedahkan. Jadi kenalah nantikan perkembangan selanjutnya dari Subaru.

GALERI: Subaru Levorg 1.6 GT-S