Kalau di Malaysia, motosikal berkuasa tinggi keluaran Honda menjadi pilihan utama untuk digunakan oleh pasukan Trafik PDRM dalam menjalankan tugas sejak dulu. Siapa yang tak kenal, misalnya model lagenda Honda CBX750, yang bahkan masih ada unit yang digunakan sehingga hari ini.

Tapi, kalau di negara besar lain, jenama dan model mana pula yang dipercayai untuk menggalas tanggung jawab berkenaan? Polis trafik di Amerika Syarikat nampak gayanya akan menerima jentera baru untuk kegunaan rasmi – Yamaha FJR1300P yang dibina khas oleh Yamaha yang menepati keperluan dan penggunaan pihak polis.

Motosikal ini menggunakan enjin 1,298 cc dengan empat-silinder sebaris DOHC 16-injap sejukan cecair yang mampu menjana sebanyak 145.5 hp pada 8,000 rpm dan 138.3 Nm pada 7,000 rpm tork puncak. Angka yang dijana ini adalah lebih tinggi berbanding model FJR versi biasa, yang hadir dengan output 141.5 hp dan 134.2 Nm.

Enjinnya dipadankan dengan sistem transmisi enam-kelajuan klac basah dengan ciri multiplate assist-and-slipper. Menggunakan sistem suntikan minyak dengan YCC-T, kuasa motosikal ini (final drive) disampai melalui shaft.

Bagi sistem suspensi pula, bahagian hadapan menggunakan fork 48 mm boleh laras sepenuhnya; jarak larasan 5.3-inci. Bahagian belakang pula menggunakan penyerap hentak tunggal dengan kadar beban dan serapan boleh laras; dengan jarak larasan 4.9-inci.

Brek depan terdiri daripada cakera berkembar 320 mm, Unified Brake System dan ABS. Sementara itu, bahagian belakangkan dilengkapi cakera 282 mm, juga dengan Unified Brake System dan ABS. Siaz tayar yang digunakan pula adalah seperti berikut – 120/70ZR17 (depan) dan 180/55ZR17 (belakang).

Selain daripada itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri khas untuk kegunaan tugas-tugas polis. Antaranya ialah suis pengawal lampu ronda, penghadang angin bahagian depan yang boleh dikawal secara elektronik sepenuhnya dengan kedudukan menegak 135 mm.

kedudukan pemegang (handlebar) dengan ketinggian tambahan 20 mm berbanding model untuk orang awam, dengan pelindung kaki serta kusyen tempat duduk yang lebih selesa turut menjadi ciri khas model ini bagi mengurangkan keletihan kepada penunggang dalam perjalanan jauh.

Ia juga datang dengan ruang barangan yang luas serta kotak barangan tambahan mudah alih di sisi. Nampak menarik dan meyakinkan tak?