Beberapa imej bagi Peugeot 508 baharu telah pun dibocorkan, sebelum ia dipamerkan di Geneva Motor Show 2018 yang direncanakan bulan hadapan. Jenama ini tidak memberikan rekaan yang drastik terhadap 508 baharu ini, namun menampilkan imej yang lebih segar dan menarik pandangan.

Walau bagaimana pun 508 baharu ini tidaklah sama dengan model sedia ada berkenaan dengan rekaannya, malah ia ditampilkan lebih besar dan lebih dinamik. Bahagian hadapannya ditampilkan dengan gril Peugeot baharu seperti mana yang digayakan pada 3008 dan 5008, namun lampu utamanya diposisikan sedikit bawah seperti yang ditampilkan pada SUV berkenaan. Ia turut diberikan jaluran lampu nyalaan siang LED yang banyak menyerlahkan lagi imej hadapannya yang agak lebar itu.

Malahan satu keunikan yang ditonjol ialah dengan logo 508 pada bahagian bonet, iaitu di atas logo singa. Ini bukanlah suatu idea baharu namun telah diberikan nafas baharu seperti mana yang pernah digayakan pada model 504 era zaman 70an.

Peugeot telah membuang bentuk bulat pada model semasa 508 dan menggantikannya dengan garisan yang lebih tajam, yang boleh dilihat pada bahagian sisi dan belakang. Lampu belakang LED “lion claw” turut diberikan, disambung dengan jaluran hitam yang memberikan sedan ini seperti rupa Lamborghini Huracan pula. Selain itu, ia turut menampilkan paip ekzos dan trunk spoiler yang menambahkan lagi sentuhan sporty model ini.

Bercakap soal sporty, 508 baharu ini didatangkan dengan tingkap tanpa bingkai, yang selalunya digunakan pada model coupe.

Kereta merah yang anda lihat menerusi foto ini adalah varian tertinggi 508 GT, yang memilik gril tersendiri dengan motif berkotak, rekaan roda yang lebih sporty, perumah cermin sisi berwarna hitam dan logo GT pada tiang-C.

Papan pemuka 508 baharu ini memang jelas dengan imej yang sering dipertaruhkan oleh Peugeot. Ini termasuklah dengan roda stereng, instrumen digital, tombol gear dan kekunci piano yang menjadi trademark, namun corong pendingin hawa diletakkan sedikit tinggi pada papan pemuka, berbanding yang kelihatan pada 3008. Malah ia juga menampilkan pencahayaan ambien, jahitan kontras, kekemasan kayuan dan sistem bunyi Focal.

508 baharu ini nampak sungguh bergaya dan memiliki keunikan tersendiri, malah ia cukup menonjol bagi segmen-D. Apa pandangan anda mengenainya?