Mercedes-Benz C-Class W205 facelift – perincian lanjut

Mercedes-Benz C-Class W205 <em>facelift</em> – perincian lanjut

Mercedes-Benz C-Class W205 facelift kini telah pun ditampilkan buat pertama kalinya di Geneva Motor Show 2018, dan pengeluar dari Jerman tersebut telah menyiarkan perincian tentang model eksekutif kompak ini. Ia boleh didapati dalam bentuk badan Sedan dan juga Estate (wagon).

Enjin petrol yang ditawarkan pada C-Class W205 facelift ini adalah unit empat silinder petrol M264. Bagi kedua-dua varian C 200 dan C 200 4Matic, enjin 1.5 liter twin-scroll turbo ini mampu menghasilkan 181 hp (184 PS) pada antara 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan 280 Nm tork pada antara 3,000 hingga 4,000 rpm.

Dua varian C-Class ini juga dilengkapi dengan starter/alternator pacuan tali sawat EQ Boost, yang memberikan tambahan 13 hp (10 kW) dan 160 Nm boost untuk digunakan waktu sebelum unit turbo dapat mengumpulkan boost di awal pecutan. Ia juga membantu enjin ini mencapai tahap rpm ideal lebih cepat sewaktu menukar gear.

Semasa mengurangkan kelajuan, unit EQ Boost ini berupaya menjana semula sehingga 12 kW tenaga untuk mengecas baterinya. Kelebihan lain yang boleh didapati adalah termasuk mod meluncur dengan enjin ditutup, sekaligus membantu penjimatan bahan api.

Mercedes-Benz C-Class W205 <em>facelift</em> – perincian lanjut

Teknologi ini beroperasi menggunakan sistem elektrikal 48 volt, yang juga bersambung dengan pam air pacuan elektrik. Mercedes-Benz mendakwa, sistem start/stop waktu berhenti juga dapat dipertingkat, di mana enjin tersebut dapat dihidupkan semula hampir betul-betul senyap, dengan gegaran yang rendah dan lebih pantas.

Untuk prestasi, C 200 Sedan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa cuma 7.7 saat, dan mencapai laju maksimum 239 km/j manakala C 200 Estate melakukannya dalam masa 7.9 saat dan laju maksimum 235 km/j. Varian C 200 4Matic pula dapat melengkapkan pecutan ini dalam masa 8.1 saat, dengan kelajuan maksimum 234 km/j. Pada masa hadapan, satu lagi pilihan enjin 2.0 liter akan diperkenalkan pada C-Class facelift ini, dan ia mungkin menyamai seperti yang digunakan pada E 350 Coupe dan Cabriolet.

Pilihan enjin petrol ketiga pula akan datang untuk varian C 43 4Matic, di mana ia menggunakan unit V6 3.0 liter biturbo, dengan kuasa sebanyak 385 hp (390 PS) pada 6,100 rpm, iaitu 23 hp lebih berbanding sebelum ini. Tork maksimum pula berada pada 520 Nm antara 2,500 hingga 5,000 rpm. Melalui enjin ini, pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 4.7 saat (4.8 saat untuk Estate) dan laju maksimum yang dihadkan adalah 250 km/j.

Mercedes-Benz C-Class W205 <em>facelift</em> – perincian lanjut

Bagi varian yang dikuasakan oleh enjin diesel pula, terdapat C 220 d, yang menggunakan unit empat silinder 2.0 liter OM654 berkuasa 192 hp (194 PS) pada 3,800 rpm dan 400 Nm tork pada antara 1,600 hingga 2,800 rpm. Enjin ini menggantikan unit 2.2 liter OM651 dan sudah pun digunakan pada E-Class baru. Dengannya, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum adalah 240 km/j (7.0 saat dan 233 km/j untuk model Estate). Penggunaan bahan api pula berada pada tahap 4.4 l/100 km (bercampur).

Selain C 43 4Matic yang menggunakan transmisi AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan, model yang lain pula menggunakan transmisi automatik 9G-Tronic. Pada varian yang tertentu, sistem pacuan semua roda tetap 4Matic akan ditawarkan.

Selain daripada itu, Mercedes-Benz juga sebelum ini ada mendedahkan dua model diesel plug-in hybrid pra produksi, dan salah satu daripadanya akan menjadi tambahan kepada keluarga C-Class. Sumber kuasa ini menggunakan padanan enjin OM654, dengan unit hibrid generasi ketiga (P3) berasaskan transmisi automatik 9G-Tronic (berkemungkinan adalah sistem elektrikal 48 volt dan motor elektrik).

Sistem ini dikatakan mampu menghasilkan kuasa sehingga 120 hp (90 kW) dan 440 Nm, dan laju maksimum dalam mod elektrik meningkat menjadi 140 km/j, dari 130 km/j. Bateri lithium-ion 13.5 kWh yang lebih besar memberi kuasa kepada motor elektriknya dan ia boleh dicas menggunakan pengecas 7.2 kW yang disediakan.

Mercedes-Benz C-Class W205 <em>facelift</em> – perincian lanjut

C-Class facelift ini datang dengan pelbagai pilihan kelengkapan. Untuk pakej luaran, terdapat pilihan Exclusive, Avantgarde dan AMG – bersama pilihan lampu utama – halogen, LED High Performance dan juga Multibeam LED dengan lampu tinggi Ultra Range. Pilihan warna juga sudah bertambah dengan adanya Mojave Silver Metallic dan Emerald Green Metallic untuk kedua-dua bentuk badan.

Pergi ke bahagian dalam pula, bahan baru – open-pore brown walnut dan open-pore anthracite oak – kini boleh didapati sebagai pilihan kemasan. Terdapat juga pilihan warna dalam baru yang termasuk kelabu magma/ hitam dan coklat saddle untuk pakej AMG Line. Jika itu tidak mencukupi, tali pinggang juga didatangkan dalam warna kelabu magma. Tambahan lain adalah pilihan pakej Multicontour Seat dengan pelaras bahagian tepi, penyokong belakang dan fungsi mengurut.

Secara standard, C-Class facelift ini datang dengan panel instrumen gabungan analog dan digital 5.5 inci, 383×600 pixel, tetapi ia boleh diganti dengan panel digital penuh 12.3 inci 1920×720 pixel. Pemandu juga boleh memilih tiga gaya paparan iaitu Classic, Sport dan Progressive.

Mercedes-Benz C-Class W205 <em>facelift</em> – perincian lanjut

Skrin paparan pada bahagian tengah papan pemuka pula boleh didapati dalam saiz 7-inci (960×540 pixel) atau 10.25-inci (1920×720 pixel), bergantung kepada sistem informasi dan hiburan yang dipilih. Datang secara standard adalah sistem Audio 20, yang boleh dinaik taraf kepada sistem COMAND Online yang lebih maju.

Kelengkapan lain yang boleh didapati pada kenderaan ini adalah termasuk pengawal Energizing dan teknologi NFC yang boleh menukar telefon pintar pengguna kepada kunci kenderaan. Turut ditambah adalah sistem bunyi sembilan pembesar suara, 225-watt.

C-Class baru ini juga menggunakan pelbagai sistem bantuan pemandu daripada S-Class facelift, termasuk Distronic Adaptive Cruise Control yang boleh menggunakan informasi peta untuk melaras kelajuan secara proaktif seperti waktu menghampiri selekoh, simpang atau bulatan. Turut ditambah adalah Active Lane Change Assist dan Active Emergency Stop Assist.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required