Minggu ini kita dikejutkan lagi dengan berita kanak-kanak yang meninggal dunia setelah dia ditinggalkan dalam kereta ibunya yang diletakkan pada tempat letak kereta terbuka sebuah kolej yang terletak di Negeri Sembilan. Menurut laporan Berita Harian, hasil bedah siasat menunjukkan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat strok haba atau kepanasan melampau.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad dalam laporan tersebut, siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan dalam keadaan pintu dan tingkap kereta tertutup bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari. Wanita terbabit hanya menyedari kanak-kanak tersebut ditinggalkan selepas empat jam, lalu bergegas lari ke kereta untuk mendapatkan anaknya.

“Malangnya budak itu sudah tidak sedarkan diri dan dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson tetapi disahkan meninggal dunia dan dirujuk ke HPD,” katanya.

Insiden seperti ini bukan pertama kali terjadi di negara kita, di mana laporan-laporan kejadian seperti ini sudahpun dipaparkan berberapa tahun kebelakangan ini. Ya, kita tidak berada di tempat ibu kanak-kanak berkenaan ketika insiden tersebut berlaku, dan tidak tahu apa yang sebenarnya dihadapi olehnya, tetapi untuk peringatan diri saya sendiri serta pembaca sekalian, JANGAN SESEKALI TINGGALKAN ANAK ANDA DI DALAM KERETA TANPA PENGAWASAN WALAUPUN SEKEJAP.

Strok haba ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya di negara dengan iklim khatulistiwa seperti Malaysia. Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menyiarkan video untuk menunjukkan betapa bahayanya serangan strok haba ini sekiranya anda terperangkap di dalam kereta.

Menerusi video berkenaan, pemain American Football dari pasukan Arizona Cardinal, Tyrann Mathieu duduk di dalam kereta yang diparkir di bawah terik matahari. Atlit profesional berkenaan hanya bertahan selama lapan minit di dalam kereta tersebut, setelah suhu pada kabin meningkat sehingga 48.9 darjah selsius.

Itu orang dewasa yang juga seorang atlit profesional, sekarang anda bayangkan pula bagaimana keadaan seorang kanak-kanak dengan suhu di negara kita. Menurut pakar kecemasan paediatrik, badan kanak-kanak lebih cepat memanas berbanding orang dewasa, seterusnya lebih cepat diserang strok haba.

Dalam masa hanya 15 minit terperangkap dalam kereta yang panas, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kerosakan pada otak atau buah pinggang yang boleh menyebabkan kematian. Apabila suhu badan kanak-kanak mencapai 40 darjah Celsius, organ dalaman akan berhenti berfungsi, manakala pada suhu 41.6 darjah Celsius, kanak-kanak berkenaan boleh meninggal dunia.

Untuk pengetahuan anda juga, perkara seperti ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di serata dunia. Tahun lalu sahaja seramai 37 orang kanak-kanak telah meninggal dunia di Amerika Syarikat akibat strok haba kerana ditinggalkan di dalam kereta yang panas. Ini mendorong berberapa pengeluar untuk menghasilkan sistem keselamatan untuk mengingatkan pemandu untuk memeriksa semula bahagian belakang kereta sebelum meninggalkan kenderaan masing-masing contohnya Rear Door Alert dari Nissan dan Rear Occupant Alert oleh Hyundai.

Kita di Malaysia masih lagi belum menerima teknologi sedemikian, oleh itu amalan berpesan-pesan, dan jangan memandang remeh hal meninggalkan anak-anak bersendirian di dalam kereta merupakan yang terbaik setakat ini. Juga sebagai masyarakat yang prihatin, jika anda terlihat kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa orang dewasa, tolong, tolong, hubungi pihak berkuasa seperti polis secepat mungkin.