DRB-HICOM Commercial Vehicles Sdn. Bhd. (DHCV) selaku pengimport dan pengedar sah kenderaan perdagangan Tata Motor Limited di Malaysia akan merancakkan lagi operasi dan kehadirannya dalam pasaran tempatan. Antara yang sedang dirancang ialah pengenalan tiga model baru serta sebuah program pemasangan tempatan bagi jangka waktu sederhana.

Menurut CEO Pengedaran Automotif, Pembuatan dan Kejuruteraan, DRB-HICOM Berhad, Abdul Harith Abdullah, dua daripada model yang dimaksudkan itu merupakan dari segmen kenderaan perdagangan, manakala sebuah lagi model ialah dalam segmen pikap kecil.

“Tiga tahun terakhir ini merupakan proses pembelajaran bagi kami. Kini, kami yakin telah mempunyai barisan produk yang sesuai dari segi teknologi, harga mampu milik dan tahap ketahanan untuk benar-benar bersaing dalam kategori kenderaan komersial,” jelas beliau.

Ini juga dilihat sebagai kelangsungan jenama kenderaan Tata di Malaysia. Sejak memperkenalkannya pada 2015, DHCV telah berhasil menjual sebanyak 654 unit kenderaan perdagangan Tata yang terdiri daripada trak pikap, trak ringan dan prime mover.

Tentang pikap kecil serba baru yang bakal diperkenalkan itu, CEO DHVC, Chin Tan Hee menyifatkan model berkenaan diyakini akan mendapat tempat sewajarnya di Malaysia. “Pikap kecil mewakili dua peratus daripada jumlah segmen pikap.

“Matlamat kami adalah untuk menawarkan kepada pelanggan satu alternatif dan produk yang berdaya saing tinggi. Pikap kecil Tata Motors merupakan produk yang sangat berjaya, dan telah terbukti penerimaannya seperti yang dapat dilihat di jalanraya di negara serantau yang lain,” tambah beliau.

Dengan pengenalan pikap kecil itu nanti, DHVC menyasarkan penguasaan 10-15 peratus daripada segmen pikap kecil menjelang tahun 2022. Bagi tahun 2018, DHVC merancang untuk mencapai jumlah 150 unit trak tugas ringan (light-duty trucks) untuk meraih dua peratus daripada segmen yang dijangka mempunyai angka jualan tahunan sebanyak 7,500 unit.

Bagi program pemasangan tempatan yang sedang direncanakan, ia akan dilakukan di dua kilang DRB-HICOM di Pekan, Pahang yang dikendalikan oleh HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd dan akan dimulakan dalam masa terdekat.

Tata Motors (yang juga memiliki Jaguar dan Land Rover) kini merupakan pengeluar kenderaan kesepuluh terbesar di dunia, dan pengeluar trak keempat terbesar serta pembuat bas kedua terbesar di dunia.