Honda Insight 2019 versi produksi didedahkan – 1.5 liter kitaran Atkinson, hibrid i-MMD, 151 hp/268 Nm

Honda Insight 2019 versi produksi didedahkan – 1.5 liter kitaran Atkinson, hibrid i-MMD, 151 hp/268 Nm

Januari lalu, Honda telah mendedahkan perincian berkenaan Honda Insight generasi baharu dan model yang didakwa sebagai ‘prototaip’ tersebut telah pun dibawa ke Detroit sempena North American International Auto Show 2018. Perkembangan terbaharu, Honda telah mengumumkan model dedikasi hibrid berkenaan akan didedahkan dalam bentuk produksi sebenar pada New York International Auto Show (NYIAS) 2018 yang akan berlangsung minggu ini.

Serentak dengan itu, jenama berkenaan turut mendedahkan perincian model tersebut bersama imej-imej rasminya. Seperti dijangka, model produksi ini menampilkan rupa seiras dengan versi protaip sebelumnya. Insight generasi baharu ini juga bukanlah model dengan bentuk badan pelik seperti dua generasi pertama dan kedua, malah menurut Honda, ia kini diletakkan lebih tinggi dari Civic, satu tangga di bawah Accord.

Dari sisi, Insight generasi ketiga ini menampilkan bentuk badan sedan empat-pintu dengan garis badan seperti sebuah coupe, sama seperti elemen yang diterapkan pada Civic FC dan Accord generasi baharu. Muka model juga direka dengan konsep yang sama seperti Civic dan Accord, namun ‘kening’ krom yang bersambung dengan gril ‘flying wing‘ pada Insight ini diletakkan lebih ke bawah pada lampu LED hadapan.

Ia turut dilihat diberikan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L yang dibina dalam lampu utama, manakala bahagian belakang pula, Insight menampilkan lampu tirus ‘two-piece‘ yang lebih tersendiri jika dibandingkan dari kedua-dua abangnya tadi.

Honda Insight 2019 versi produksi didedahkan – 1.5 liter kitaran Atkinson, hibrid i-MMD, 151 hp/268 Nm

Masuk ke bahagian kabin, anda dihidangkan dengan papan pemuka yang direka seakan konsep pada Civic, menampilkan rekaan melintang serta konsol terowong yang direka besar. Insight dilihat tidak menampilkan tombol gear, di mana pilihan gear perlu dibuat dengan menekan butang-butang PNRD pada konsol berkenaan.

Pemandu juga diberikan paparan informasi digital sepenuhnya dengan skrin TFT 7-inci yang terletak dibelakang roda stereng rekaan baharu dibaluti kulit. Manakala untuk sistem infotaimen, Insight turut diberikan skrin sesentuh Display Audio bersaiz lapan-inci dengan sokongan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto yang berbeza dari unit yang dilengkapkan pada Civic – dengan fungsi seperti telefon pintar termasuk ikon shortcut yang boleh diubah mengikut keselesaan pemilik.

Menurut Honda, model baharu ini menampilkan kemasan kabin premium termasuk penggunaan material sentuhan-lembut dan jahitan sebenar pada panel instrumen, serta tempat duduk yang direka lebih ergonomik. Dengan jarak roda lebih panjang juga, Honda mendakwa Insight menawarkan ruang lutut terbaik dalam kelasnya (95 cm).

Konfigurasi bateri lithium-ion yang diletakkan pada bahagian bawah tempat duduk belakang pula membolehkan model ini mempunyai ruang kargo 428 liter – lebih kurang sama dengan sedan-sedan bersaiz sederhana janaan petrol sepenuhnya. Rekaan sedemikian juga membolehkan tempat duduk belakang dilipat dengan nisbah 60/40 bagi memberikan ruang simpanan lebih besar sekiranya diperlukan.

Honda Insight 2019 versi produksi didedahkan – 1.5 liter kitaran Atkinson, hibrid i-MMD, 151 hp/268 Nm

Berbeza dengan generasi sebelumnya yang diasaskan dari City, Insight serba baharu ini diasaskan dari platform asas yang sama seperti Civic generasi ke-10. Oleh itu, ia tidak lagi dibekalkan dengan suspensi torsion beam pada bahagian belakang, sebaliknya menggunakan rekaan multi-link yang lebih jitu. Ciri lain yang turut dikongsi dari Civic termasuk bushing dengan penebat cecair (model Touring sahaja) dan juga stereng berkuasa elektrik dengan dua pinan-pelbagai nisbah.

Menurut Honda, perkongsian platform tersebut juga membolehkan Insight direka dengan karekter sedan kompak premium, menampilkan pelbagai peningkatan kejuruteraan bagi memperbaiki kualiti pemanduan, kesenyapan dalam kabin dan juga kadar efisien.

Badan kereta ini pula menampilkan struktur Advance Compatibility Engineering (ACE) Honda, sementara penutup hud hadapan diperbuat dari material aluminum bagi mengurangkan beratnya. Pada ruang enjin, fender hadapan, firewall, lantai hadapan dan belakang pula diberikan bahan penebat tambahan bagi membantu mendapatkan kabin yang lebih senyap.

Model baharu ini akan dijana sistem hibrid dua-motor generasi ketiga Honda digelar Sport Hybrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) seperti pada Accord Hybrid dan CR-V Hybrid baharu. Namun, sistem pada Insight ini menggabungkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson (berbanding 2.0 liter pada Accord), motor elektrik dan pek bateri lithium-ion.

Honda Insight 2019 versi produksi didedahkan – 1.5 liter kitaran Atkinson, hibrid i-MMD, 151 hp/268 Nm

Secara keseluruhan, unit janakuasa i-MMD tersebut mampu menghasilkan 151 hp dan tork maksima dengan bantuan motor elektrik 268 Nm. Menerusi sistem ini, Insight boleh dipandu dalam mod elektrik sepenuhnya pada kebanyakkan masa kerana enjin petrol berkenaan turut boleh berfungsi hanya sebagai penjana elektrik untuk mengecas semula pek bateri lithium-ion dengan 60-sel. Honda juga mengesahkan, ia mampu mencapai penggunaan bahan api 23.3 km/l.

Ia juga boleh bergerak tanpa enjin petrol dihidupkan langsung, serta boleh mendapatkan kuasa penuh dengan operasi enjin petrol dan motor elektrik secara serentak. Sistem janakuasa berkenaan juga dibekalkan dengan servo brek elektrik bagi memberikan tujahan brek yang linear, digabungkan bersama sistem regenerative braking yang lancar dan efisien.

Tiga mod pemanduan diberikan – Normal, Econ dan Sport – membolehkan pemandu memilih karekter sama ada untuk memaksimakan kadar efisien atau prestasi pemanduan. Tiga tahap prestasi sistem regenarative braking juga boleh dipilih pada roda stereng, berdasarkan situasi pemanduan. Dalam mod Normal, Insight dapat dipandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya pada jarak sekitar satu batu.

Sistem i-MMD ini juga berfungsi lain dari sistem yang ditawarkan pesaing-pesaingnya, di mana ia ini mempunyai motor yang dihubungkan terus pada aci pacu tanpa memerlukan agihan kuasa menerusi kotak gear automatik konvensional terlebih dahulu. Ketika operasi dalam kelajuan tinggi pula, sistem klac pengunci akan menghubungkan enjin ke gandar pemacu bagi memberikan operasi paling eifisien pada pemanduan di lebuhraya.

Bagi pasaran Amerika Syarikat, Insight ditawarkan dengan varian iaitu LX, EX dan Touring. Kesemua varian ini akan didatangkan standard bersama lampu hadapan LED-penuh, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, rim aloi 16-inci, cermin sisi dengan pemanas, paparan instrumen digital TFT 7-inci, butang penghidup enjin, sistem audio dengan enam-pembesar suara dan hubungang Bluetooh serta Pandora, dan juga tempat duduk belakang boleh-lipat.

Model pertengahan EX pula ditambah dengan sistem Smart Entry, tambahan dua lagi pembesar suara, radio SiriusXM dan juga skrin utama Display Audio bersaiz lapan-inci.

Manakala pada model tertinggi Insight Touring, ia didatangkan standard dengan rim aloi 17-inci, lampu kabus LED, pengelap cermin automatik, moonroof berkuasa, lampu isyrat membelok LED, tempat duduk balutan kulit berliang, tempat duduk hadapan dengan pemanas dengan larasan berkuasa (lapan-hala untuk pemandu dan empat-hala untuk penumpang) dan juga sistem penghawa dingin dua-zon.

Model tertinggi ini juga dibekalkan dengan sistem bunyi premium bersama 10-pembesar suara, sistem kawalan jauh Homelink serta sistem navigasi bantuan satelit Honda, Honda HD Digital Traffic, 4G LTE Wi-Fi dengan kebolehan mobile hotspot dan sistem kemaskini over-the-air, serta servis langganan HondaLink generasi seterusnya.

Kesemua varian Insight pasaran Amerika Syarikat dilengkapi dengan kamera undur pelbagai sudut dan pakej Honda Sensing yang merangkumi sistem keselamatan termasuk Collision Mitigation Braking System, Amaran Keluar Laluan, Road Departure Mitigation, Cruise Control Adaptif dengan Low-Speed Follow dan Pengesan Amaran Trafik. Varian EX dan Touring pula akan ditambah dengan sistem Honda LaneWatch.

Honda mensasarkan Insight generasi baharu ini mendapat penarafan yang baik dalam ujian-ujian pelanggaran, termasuk lima-bintang keseluruhan dalam ujian NCAP, serta penarafan “Baik” pada kesemua mod ujian pelanggaran dan penarafan “Superior” pada ujian pelanggaran hadapan dalam ujian IIHS Top Safety Pick.

Honda Insight generasi ketiga pasaran Amerika Syarikat ini akan diproduksi di Kilang Honda Greensburg, Indiana, bersama Civic dan CR-V menggunakan komponen yang diperolehi secara domestik dan global. Bateri hibrid kereta ini pula akan dihasilkan di kilang Honda Marysville Auto Plant, Ohio, manakala enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkenaan akan diproduksi di kilang enjin Honda Anna iaitu tempat yang sama enjin Accord Hybird 2018 dihasilkan.

Setelah dilancarkan nanti, Insight akan menjadi model kelima diperkenalkan Honda selepas siri Clarity (Clarity Fuel Cell, Clarity Electric dan Clarity Plug-in Hybrid) dan juga Accord Hybrid dalam pelan inisiatif yang diumumkan sebelum ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required