Honda telah menyiarkan sedikit gambar dan perincian berkenaan model prototaip Honda Insight generasi baharu tahun lalu, dan sebelum didedahkan pada North American International Auto Show 2018 yang akan berlangsung minggu hadapan, jenama berkenaan sekali lagi menyiarkan imej dan juga maklumat tambahan sedan hibrid tersebut.

Walaupun ia sebuah model yang didakwa sebagai ‘prototaip’, kereta ini kelihatan seperti sudah bersedia untuk diproduksi – sama seperti prototaip Honda Civic Type R yang didedahkan sebelum model produksi sebenarnya muncul dengan bentuk yang serupa.

Berbeza dengan Insight generasi terdahulu yang menampilkan bentuk badan lima-pintu yang agak pelik, model generasi baharu ini muncul sebagai sebuah sedan empat-pintu sebenar dengan gaya yang agak sporty. Dapat dilihat, Insight generasi seterusnya berkenaan menerapkan sepenuhnya rekaan signatur terkini Honda sama seperti Civic FC serta Accord generasi baharu yang telah diperkenalkan di Amerika Syarikat.

Muka Insight generasi baharu ini menerima lampu hadapan tirus dengan jalur krom yang merentangi gril hadapan sama seperti Accord dan Civic. Ia turut dilihat diberikan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L yang dibina dalam lampu utama.

Beralih ke sisi, pengaruh Civic dan Accord dapat dilihat sekali lagi, menampilkan bentuk badan sedan empat-pintu dengan garis badan seperti sebuah coupe. Bahagian belakang pula, Insight menampilkan lampu tirus ‘two-piece‘ yang lebih tersendiri jika dibandingkan dari kedua-dua abangnya tadi.

Pada bahagian dalaman, Insight diberikan roda stereng balutan kulit, skrin sesentyh kapasitif lapan-inci serta paparan informasi digital sepenuhnya berukuran tujuh-inci. Menurut Honda, sistem infotaimen pada kereta ini menjanjikan operasi yang lebih mesra-pengguna dengan fungsi seperti telefon pintar termasuk ikon shortcut yang boleh diubah mengikut keselesaan pemilik, serta menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Secara keseluruhan, Insight baharu ini tampil sebagai sebagai model kompak premium dan Honda sendiri telah mengesahkan ia akan berada lebih tinggi dari Civic dalam hieraki barisan model. Honda Civic generasi kesepuluh juga tidak akan dihasilkan dalam versi hibrid seperti pada model generasi FB sebelum ini, jadi Insight baharu ini bakal mengisi ‘kekosongan jawatan’ berkenaan.

“Dengan gaya yang sofistikated, stance yang dinamik, bahagian dalaman yang luas dan prestasi terbaik dalam kelasnya, Insight serba baharu ini merangkumi pendekatan Honda untuk menghasilkan kereta dengan teknologi elektrik tanpa kekurangan tipikal,” kata naib presiden senior jualan automobil dan penguruh besar Divisi Honda American Honda Motor Co., Inc., Henio Arcangeli, Jr.

Honda Insight Prototype

Model baharu ini akan dijana sistem hibrid dua-motor generasi ketiga Honda digelar Sport Hybrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) seperti pada Accord Hybrid dan CR-V Hybrid baharu. Namun, sistem pada Insight ini menggabungkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson (berbanding 2.0 liter pada Accord), motor elektrik dan pek bateri lithium-ion.

Menerusi sistem ini, Insight boleh dipandu dalam mod elektrik sepenuhnya pada kebanyakkan masa kerana enjin petrol berkenaan turut boleh berfungsi hanya sebagai penjana elektrik untuk mengecas semula pek bateri. Ia juga boleh bergerak tanpa enjin petrol dihidupkan langsung, serta boleh mendapatkan kuasa penuh dengan operasi enjin petrol dan motor elektrik secara serentak.

Bateri lithium-ion sistem berkenaan diletakkan pada bahagian bawah tempat duduk belakang. Oleh itu, pengguna masih lagi memperolehi ruang kargo penuh serta tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 60:40. Menurut Honda, Insight akan membekalkan kuasa paling tinggi dalam kelasnya dalam masa yang sama masih lagi mencatatkan ekonomi penggunaan bahan api gabungan US EPA 21.3 km/l – bacaan yang agak kompetitif dalam segmen hibrid kompak.

Kesemua varian Insight pasaran Amerika Syarikat bakal dilengkapi dengan pakej Honda Sensing yang merangkumi sistem keselamatan termasuk Collision Mitigation Braking System, Amaran Keluar Laluan, Road Departure Mitigation, Cruise Control Adaptif dengan Low-Speed Follow dan Pengesan Amaran Trafik.

Pada North American International Auto Show 2017 kami mengumumkan Inisiatif Teknologi Elektrik Honda dengan sasaran untuk menghasilkan dua pertiga jualan kenderaan Honda diseluruh dunia diberikan teknologi elektrik menjelang 2030,” kata Arcangeli.

“Dengan pelancaran Insight pada lewat 2018 sebagai kereta kelima diberikan teknologi elektrik di bawa kepasaran sejak tahun lalu, kami mendemonstrasikan komitmen kami terhadap sasaran berkenaan,” tegasnya lagi.

Honda Insight generasi ketiga pasaran Amerika Syarikat berkenaan akan diproduksi di Kilang Honda Greensburg, Indiana, bersama Civic dan CR-V menggunakan komponen yang diperolehi secara domestik dan global.

Setelah dilancarkan nanti, Insight akan menjadi model kelima diperkenalkan Honda selepas siri Clarity (Clarity Fuel Cell, Clarity Electric dan Clarity Plug-in Hybrid) dan juga Accord Hybrid dalam pelan inisiatif yang diumumkan berkenaan.