Toyota Yaris Sedan 2019 telah pun ditunjukkan secara rasmi, setelah model sebelumnya dilancarkan buat kali pertama tiga tahun lepas. Sekiranya anda merasakan rekaannya ada persamaan dengan model jenama lain, memang benar, kerana Yaris Sedan ini (dijual di Amerika Syarikat sahaja dan sebelum ini dikenali sebagai Scion iA) sebenarnya berkongsi asas dengan Mazda 2 Sedan.

Facelift yang diberikan kepada Yaris Sedan ini hanya melibatkan sedikit perubahan. Bermula pada bahagian hadapan, Yaris ini mendapat gril honeycomb, lampu hadapan serta kemasan hitam berkilat dan krom yang baru. Berita utama untuk model ini adalah ia kini boleh didapati dalam tiga trim – Yaris L, Yaris LE dan paling tinggi, Yaris XLE.

Semua varian dilengkapi dengan sistem informasi dan hiburan dengan skrin sesentuh tujuh inci (interface MZD sama, tapi warna berlainan), brek kecemasan hadapan kelajuan rendah automatik, cruise control, cermin sisi dan tingkap kuasa elektrik dan tempat duduk yang boleh diilhat 60:40. Pembaharuan lain yang turut diberi adalah Lampu utama LED, pencahayaan apabila mahu masuk kenderaan dan rim aloi 16 inci baru.

Tiada perubahan yang diberi kepada bahagian mekanikal – ia masih lagi menggunakan enjin petrol 1.5 liter direct injection Mazda Skyactiv dengan kuasa 106 hp dan 139 Nm tork, bersama padanan kotak gear sama ada manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan. Tahap penggunaan bahan api berada pada 6.7 l/100 km untuk kotak gear manual dan 6.4 l/100 km untuk kotak gear automatik.

Pada aspek keselamatan, Yaris dilengkapi dengan Active Safety System yang merangkumi Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), Brake Assist (BA), Electronic Brake-Force Distribution (EBD), Anti-Lock Brake System (ABS) dan Brake Over-Ride System (BOS). Ciri standard lain adalah enam beg udara dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

Satu lagi ciri keselamatan yang diberi adalah Low-Speed Pre-Collision System, yang boleh mengimbas jalan di hadapan untuk potensi perlanggaran. Jika sistem tersebut dapat mengesan potensi untuk perlanggaran di hadapan, amaran visual dan bunyi, serta bantuan brek akan diaktifkan secara automatik. Jika pemandu masih tidak memberi tindak balas, brek akan dikenakan secara automatik.