Renault telah menambah satu lagi varian Captur untuk pasaran Eropah iaitu model edisi terhad S-Edition. Apa yang menariknya, model edisi terhad ini bukan sahaja menerima kekemasan yang lebih bergaya, bahkan turut hadir dengan enjin baharu yang lebih berkuasa.

Boleh didapati sama ada dengan pilihan manual atau kotak gear klac berkembar EDC enam-kelajuan, enjin baharu 1.4 liter TCe 150 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 150 hp dan tork 250 Nm, yang mana ternyata lebih berkuasa berbanding enjin petrol sebelumnya 1.2 liter (120 hp, 205 Nm).

Gandingan enjin baharu ini, Captur S-Edition ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 9.2 saaat, berbanding TCe 120 yang mencapai 10 saat.

Selain enjin, S-Edition turut menerima kekemasan luaran eksklusif dengan warna Iron Blue bersama kombinasi bumbung Etoilé Black atau Platine Grey. Jika tidak menggemarinya, anda boleh memilih kombinasi dari lapan variasi dua-tona berbeza.

Elemen lain yang ditampilkan termasuklah roda aloi potongan-berlian Filante hitam 17-inci, pelindung pintu Gun Metal Grey dan skid plate serta lencana S-Edition.

Di dalamnya pula, Captur S-Edition menampilkan upholstery kulit Alcantara/simile dengan jahitan biru pada bahagian perehat lengan, tuil gear dan juga brek parkir.

Captur spesifikasi Malaysia buat masa ini ditawarkan dengan enjin 1.2 liter TCe 120. Adakan ia patut dipertingkatkan ke 1.4 liter TCe 150 untuk pasaran tempatan? Kongsikan pendapat anda di ruang komen.