Bagi mengawal selia penggunaan laluan basikal di sekitar ibu negara, satu undang-undang baharu perlu diwujudkan. Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan, setakat ini penggunaan laluan basikal sepanjang 11 kilometer bernilai RM4 juta itu adalah tertakhluk kepada Akta Pengangkutan Jalan sedia ada.

“Memang kita perlukan rang undang-undang untuk kawal selia penggunaan jalan basikal ini, Yang Berhormat tahu setakat ini kita memang belum ada,” katanya Di Dewan Negara semalam, seperti dilaporkan Bernama.

Ia adalah bagi menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu sama ada satu undang-undang baharu perlu diwujudkan sebelum ia dibuka secara rasmi dan adakah penggunaan laluan basikal ini hanya terhad kepada basikal jenis konvensional.

Loga Bala turut berkata, penggunaan laluan basikal berkenaan hanya dibenarkan kepada penggunaan basikal konvensional sahaja dan tidak akan dibuka kepada penggunaan basikal bermotor atau papan selaju (skateboard).

Tambahnya lagi, laluan basikal itu yang berkongsi dengan jalan kenderaan lain sedia ada, kini masih dalam proses pengauditan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan untuk jangka masa panjang.

Awal Februari lalu, kecoh di laman Facebook apabila ramai netizen menyuarakan rasa tidak puas hati dengan laluan basikal di sekitar ibu kota, yang mengundang bahaya kepada penunggang motosikal. Di mana pembahagi laluan itu didapati boleh mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal dan basikal sendiri, sekiranya mereka mengubah laluan dari lorong masing-masing.

Justeru, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak mencabut semua pembahagi laluan tersebut dan perancangan untuk menggantikannya dengan material yang lebih selamat sedang dikaji.