Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

Bila berbicara berkenaan hero sukan permotoran tempatan negara, peminat tentunya terbayang jentera-jentera rali Proton dari era pasukan Proton PERT sehingga Proton Iriz R5 yang dibina oleh pasukan Mellors Elliot Motorsport. Mana Perodua? Tak teringin ke nak masuk mana-mana perlumbaan?

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan sukan rali di Malaysia, anda pasti tahu bahawa pada era pertengahan 90’an, ‘Proton Wira 4WD’ dari pasukan Proton PERT sebenarnya mempunyai lawan yang begitu pantas dan tidak disangka-sangka iaitu ‘Perodua Kancil 2-Pintu 4WD Turbo’ yang dipandu oleh Kan Chee Hong.

Jentera berkenaan dihasilkan oleh ‘mastermind’ disebalik Perodua Castrol Racing Team iaitu mendiang Gary Chua, yang juga terkenal dengan kepakarannya menala enjin Rotary, selain menyediakan kereta lumba untuk pelbagai disiplin perlumbaan. ‘Kancil’ yang diasaskan dari Daihatsu Mira L200 660 cc Turbo 4WD berkenaan bukan sahaja ‘mengacau’ penguasaan Proton PERT ketika itu, malah turut menjadi mimpi buruk kepada jentera-jentera lebih besar seperti Subaru Impreza dan Galant VR4 dari pasukan-pasukan lain.

Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

Kancil yang kami tampilkan pada kali ini bukanlah Kancil sebenar yang pernah menghambat raksasa-raksasa tersebut, tetapi ia adalah salah sebuah jentera sebenar yang menjadi sebahagian armada Perodua pada era kegemilangannya dalam dunia rali di Malaysia. Ia juga bukannya Daihatsu Mira, sebaliknya Kancil sebenar keluaran tahun 1996 yang pada asalnya menerima enjin 660 cc karburator di kilang Perodua, Rawang.

Menurut pemiliknya, Mohd Khairul Hairodin (juga pemilik Suzuki Alto Works yang kami paparkan sebelum ini) dari GoDaddy Motorsport yang begitu viral dikalangan peminat sukan permotoran tanah air, Kancil ini diterima olehnya dari mendiang Gary Chua sendiri. Ketika berkhidmat dalam pasukan rali Perodua, Kancil berkenaan diberikan enjin NA 1,000 cc dari Kelisa, tanpa pacuan empat roda.

Tamat tugasnya dalam arena rali, Kancil ini dibawa pula berlumba di litar. Pada 2006, kereta ini menduduki tempat keempat keseluruhan kategori NA 1,000 Supercompact dalam perlumbaan Malaysia Super Series (MSS) tahun itu. Setahun berikutnya, Kancil ini berjaya dinobatkan pula sebagai juara dalam kategori dan perlumbaan yang sama.

Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

Ia kemudian kembali semula untuk berlumba dalam siri perlumbaan Saturday Night Fever (SNF, kini dikenali sebagai Malaysia Speed Festival atau MSF) pada tahun 2015, dan berjaya menamatkan musim berkenaan pada kedudukan ketiga.

Di tangan Khairul, Kancil ini digunakan untuk perlumbaan endurance K-Car Global 24 Jam (dikenali juga sebagai K4GP sebelum ini) pada tahun lalu menerusi pasukan seliaanya iaitu Loco Racing Maxxoil. Untuk pengetahuan anda, K-Car Global ini merupakan perlumbaan ketahanan yang berlangsung selama 24-Jam, disertai oleh jentera-jentera Kei-Car dari seluruh dunia, dan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) saban tahun.

Untuk perlumbaan tersebut, unit janakuasa kereta ini dirombak semula sepenuhnya. Enjin 1,000 cc tadi kini telah digantikan dengan enjin NA 850 cc DVVT yang diambil dari Perodua Viva. Sebelum enjin tersebut disumbatkan ke dalam perut Kancil berkenaan, ia terlebih dahulu dileraikan untuk diseimbangkan sepenuhnya kembali, serta menjalani proses blueprint semula.

Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

Kotak komputer asal enjin Viva tersebut masih lagi digunakan, namun unit komputer piggy back Greddy E-manage telah dipadankan bagi membolehkan lebih kuasa diekstrak dengan talaan semula yang dilakukan. Ekzos juga dilakukan ubahsuai ringkas dengan pemadanan paip keluli tahan karat berdiameter 2-inci.

Untuk perlumbaan endurance, penghasilan kuasa maksima dari enjin bukanlah keutamaan, tetapi apa yang lebih penting adalah ia boleh bertahan sehingga ke penghujung pertarungan yang panjang tersebut. Sebab itulah enjin ini tidak diberikan camshaft yang agresif dan sebagainya. Penyejuk minyak dari Mocel pula diberikan bagi memastikan suhu minyak pelincir sentiasa stabil walaupun beroperasi dalam tempoh masa yang lama.

Kuasa masih lagi dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear yang juga diambil dari Viva, namun peralihan kuasa kini lebih efisien menerusi penggunaan klac ‘4-puck’ dari Trinity. Bagi membolehkan kuasa dari enjin digunakan se-optima yang mungkin, gear nisbah akhir asal kini telah digantikan dengan unit yang menghasilkan nisbah 4.9.

Untuk pengedalian, suspensi hadapan kereta lumba ini menerima set penyerap hentak boleh laras sepenuhnya dari GAB, manakala bahagian belakang pula menerima set Monroe Matic. Kemudian, cakera brek hadapan dipadankan dengan unit yang diambil dari Daihatsu Mira L5 lengkap dengan angkup, bersama pad brek dari Endless.

Kancil lumba ini turut diberikan tayar yang sah untuk digunakan di litar, iaitu tayar ATR K-Sport bersaiz 165/55R14. Keempat-empat tayar tersebut membaluti set rim Mugen MF10 replika, bersaiz 14x6jj.

Dalam kabin, Kancil ini diberikan roll cage dari silinder chrome moly enam-poin. Papan pemuka ‘Kancil Lompat’ masih digunakan, namun kluster meter kini digantikan dengan unit dari Viva bagi memudahkan pendawaian enjin. Pelbagai peralatan untuk bertarung di litar turut diberikan di dalam kokpit jentera ini, termasuk tempat duduk dan roda stereng perlumbaan dari OMP, tali pinggang perlumbaan dari Cobra, dan juga papan suis kawalan custom pada papan pemuka.

Untuk penampilan luaran pula, muka Kancil ini telah diubah menggunakan set lengkap Daihatsu Mira L200. Bahagian lain masih lagi standard Kancil, kecuali spoiler bumbung belakang yang diambil dari Mira L5. Untuk mengurangkan beratnya pula, cermin kaca pada bahagian belakang dan pintu belakang kereta ini telah digantikan dengan cermin jenis semi-perspex.

Dalam perlumbaan K-Car Global 2017 berkenaan, Kancil ini bertanding dalam kelas M3. Sepanjang 24-jam perlumbaan, kereta kecil ini berjaya mengelilingi Litar Sepang sebanyak 383 pusingan, dengan catatan masa terpantas 3 minit 7 saat – dinobatkan sebagai juara kategorinya menewaskan jentera-jentera sekelas termasuk dari Jepun, dan menduduki tempat ke-sembilan secara keseluruhan.

Nah, sekarang siapa kata tiada kereta dari Perodua yang sesuai dijadikan kereta lumba?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required