TC Euro kini telah mengumumkan ketibaan varian baru, Renault Koleos Signature untuk pasaran Malaysia. Dijual pada harga RM198,800, SUV pacuan dua roda hadapan itu berada RM10k lebih murah berbanding model spesifikasi paling tinggi 4WD yang berharga RM209,000.

Ia juga berada pada penawaran yang lebih tinggi berbanding model 2WD paling asas, dengan tanda harga RM16k lebih mahal. Bagaimanapun, varian Signature ini dilengkapi dengan lebih banyak kelengkapan. Dengan imej lebih premium, apa sebenarnya tambahan yang diberikan?

Antaranya ialah lampu utama Pure Vision LED sepenuhnya, rim 18-inci aloi, skrin sentuh 8.7-inci berwarna, paparan panel instrumen TFT tujuh-inci, material kemasan kulit, tempat duduk pemandu kuasa elektrik (dengan larasan lumdar), lapan pembesar suara Arkamys 3D dan kawalan pendingin hawa dwi zon dengan corong di belakang.

Selain itu, varian ini juga dilengkapi dengan bumbung kaca, tempat duduk kulit dengan jahitan kontras dan sistem infotainmen R-Link 2 dengan sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. Ia turut dilengkapi dengan tailgate kuasa elektrik – model asas 2WD tidak ada ciri berkenaan.

Bagaimanapun, dari sudut prestasi, tiada apa yang berubah. Enjin petrol 2.5 liter QR25DE empat-silinder yang sama masih digunakan, dengan janaan 170 PS pada 6,000 rpm dan 226 Nm pada 4,400 rpm dan digandingkan dengan transmisi X-Tronic CVT automatik.

Dari segi ciri keselamatan, Koleos Signature dilengkapi enam beg udara, tapak ISOFIX, ESP, kawalan cengkaman, ABS (dengan EBD dan BA), sensor parkir sekeliling kenderaan, sistem amaran titik buta, kamera pandang belakang dan bantuan mula mendaki – semua ciri ini turut ada pada model 2WD asas.

Seperti model lain Renault, Koleos Signature datang dengan jaminan pengeluar lima-tahun tanpa had perbatuan. Pilihan warna terdiri daripada Marron Red, Universal White, Meissen Blue, Grey Metallic dan Black Metallic.