Terdapat spekulasi bahawa Mercedes-Benz Malaysia (MBM) akan mengeluarkan model AMG pemasangan tempatan (CKD), dan nampaknya masa itu seperti semakin tiba. Berdasarkan apa yang kami temui, Mercedes-AMG C 43 4Matic Sedan dan SUV GLC 43 4Matic akan menjadi model AMG CKD terawal yang akan ditawarkan. Model CKD ini dijumpai dalam laman kalkulator kewangan MBM, tetapi nampaknya sudah dipadam.

Beza harga antara model import penuh (CBU) dan model CKD menjadi topik utama yang mahu diutarakan, dan ia sebenarnya agak banyak. Bagi C 43 4Matic Sedan, semasa pelancaran Mei lalu, harganya adalah RM499,888, tidak termasuk insurans. Harga CKD yang tertunjuk di laman web itu pula adalah kurang sehingga RM100,000 (20% dalam kiraan peratusan), menjadi RM399,888.

Sama juga dengan GLC 43 4Matic, dengan harga CKD yang tertunjuk adalah RM458,888, sementara harganya waktu dilancarkan sebagai model import adalah RM538,888. Ini adalah pengurangan sehingga RM80,000 ataupun 14.8%. Buat masa ini, spesifikasi untuk dua model CKD ini masih belum disiarkan, tetapi ia mungkin tidak lari jauh daripada model CBU.

Di bawah hud, kedua-dua kenderaan ini menggunakan enjin sama, iaitu unit V6 3.o liter twin turbo M276 yang mampu menghasilkan 362 hp (367 PS) dan 520 Nm tork. Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan dan sistem pacuan empat roda 4Matic. Daripada aspek prestasi, C 43 Sedan mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat manakala GLC 43 pula mengambil masa 4.9 saat.

GALERI: Mercedes-AMG C 43 Sedan 4Matic CBU


GALERI: Mercedes-AMG GLC 43 4Matic