MINI Cooper S Countryman Sports tiba di M’sia – siap kit badan JCW, naik taraf kelengkapan, harga RM246k

MINI Cooper S Countryman Sports tiba di M’sia – siap kit badan JCW, naik taraf kelengkapan, harga RM246k

Selain MINI Cooper S E Countryman plug-in hybrid, MINI Malaysia turut melancarkan Copper S Countryman Sports hari ini. Ia datang dengan pelbagai aksesori John Cooper Works, dan menandakan kedatangan semula model pemasangan tempatan bersama model yang dikuasakan oleh enjin petrol, tetapi dengan harga lebih rendah.

Model ini dijual pada harga RM245,888 tidak termasuk insurans, dan ini adalah RM24,000 lebih murah berbanding model Cooper S diimport sepenuhnya (CBU) yang dilancarkan tahun lalu, dan RM10,000 lebih murah berbanding Cooper S E. Pemilik juga diberikan jaminan selama empat tahun, tanpa had batuan dan servis berkala percuma.

Pada bahagian luar, MINI Cooper S Countryman Sports dilihat datang dengan kit aerodinamik John Cooper Works yang lebih agresif, dengan bampar hadapan lengkap bersama salur udara di penjuru, serta diffuser dan spoiler di belakang. Melengkapkan penampilannya adalah rim JCW Course Spoke 19 inci dengan tayar run-flat.

MINI Cooper S Countryman Sports tiba di M’sia – siap kit badan JCW, naik taraf kelengkapan, harga RM246k

Masuk ke dalam pula, model ini dilengkapi dengan lapik bumbung warna anthracite, plet tepi pintu JCW dan sistem informasi dan hiburannya telah dinaik taraf dengan unit yang lengkap bersama sistem navigasi skrin sesentuh 8.8 inci (sebelum ini 6.5 inci), 12 pembesar suara dan sistem bunyi Harman Kardon.

Sama seperti sebelum ini, kemasan yang digunakan adalah kulit Carbon Black Cross Punch, stereng JCW dengan pedal penukar gear, perincian garis krom dan trim MINI Yours hitam berkilat dan berlampu. Kelengkapan lain yang didatangkan secara terus adalah lampu utama dan lampu kabus LED, pengawal pendingin hawa dua zon, cruise control serta lampu dan pengelap cermin automatik.

Turut diberi adalah cermin pandang belakang malap sendiri, tempat duduk sports larasan kuasa dengan simpanan memori bagi bahagian pemandu, Park Assist, pintu but kuasa dengan fungsi bukaan tanpa pegang dan penanda kawasan MINI FindMate Bluetooth. Suspensinya pula adalah unit sports.

Kuasa untuk kenderaan ini masih lagi datang daripada enjin petrol 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 192 hp pada 5,00 hingga 6,000 rpm dan 280 Nm tork antara 1,350 hingga 4,600 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, untuk menyampaikan kuasa ke roda hadapan, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 7.4 saat, laju maksimum 224 km/j dan penggunaan bahan api 6.1 liter bagi setiap 100 km.

Anda juga boleh melihat lebih terperinci spesifikasi kenderaan ini dan membandingkannya dengan kenderaan lain di CarBase.my.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required