Sejak awal tahun ini, jualan kenderaan di Malaysia menunjukkan penurunan tetapi keadaan bertambah baik bagi bulan Mac 2018. Melalui data jualan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), 49,985 buah kenderaan berjaya dijual pada bulan lalu.
Ini adalah peningkatan sebanyak 23.2%, iaitu 9,407 unit lebih banyak berbanding bulan Februari (40,578 buah). Menurut MAA lagi, ini adalah disebabkan bulan Mac mempunyai lebih banyak hari bekerja dan banyak syarikat bergegas untuk menyampaikan kenderaan kepada pelanggan, terutamanya yang akan menutup akaun kewangan tahunan pada 31 Mac.
Walaubagaimanapun, apabila dibandingkan pula dengan bulan Mac tahun lepas, jumlah yang dicatat pada bulan Mac tahun ini adalah 7% lebih rendah, iaitu bersamaan 3,733 buah kenderaan. Bagi kenderaan penumpang, jumlah yang berjaya dijual pada bulan Mac 2018 adalah kurang berbanding bulan Mac 2017, tetapi bagi kenderaan komersial, ia meningkat.
Melihat kepada jumlah keseluruhan kenderaan yang berjaya dijual tahun ini, ia sudah mencecah 135,140 unit (sehingga bulan Mac 2018), dan ini adalah 4% ataupun 5,700 unit kurang berbanding tempoh sama tahun lepas. Untuk bulan April 2018, MAA tidak menjangkakan perubahan besar berbanding bulan Mac kerana orang ramai dijangka mahu menunggu sehingga PRU14 selesai.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.