Ketika berkunjung ke China untuk menghadiri Shanghai Auto Show tahun lalu, saya pernah bertanya kepada seorang rakyat negara berkenaan berapa banyak sebenarnya jenama automotif di negara tembok besar tersebut? Jawapan yang diberikan olehnya ialah – lebih dari 100 dan dia sendiri tidak boleh mengenalpasti kesemuanya.

SUV yang anda lihat pada artikel ini namanya Traum Meet 3, model yang bakal menjengah pasaran China tidak lama lagi, menurut laporan CarsNewsChina. Jenama Traum ini adalah satu jenama di bawah Zotye Auto, yang membina kenderaan mensasarkan kepada golongan muda di negara tersebut. Meet 3 ini diasaskan model Zotye SR7, dan dihasilkan dengan dimensi 4,530 mm panjang, 1,838 mm lebar, 1,610 mm tinggi, bersama jarak roda 2,685 mm.

Model ini dilengkapkan dengan enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 147 hp dan tork maksima 207 Nm. Kuasa disampaikan ke roda menerusi pilihan kotak gear lima kelajuan manual atau CVT automatik. Tiada apa yang mengujakan berkenaan spesifikasi mekanikal SUV ini kerana ia hampir sama dengan lambakan SUV lain dipasaran tersebut.

Jadi apa yang Traum buat bagi menarik anak muda membeli SUV berkenaan? Mereka memadankan sistem karaoke bina-dalam pada kabin Meet 3 tersebut. Sistem ini sebenarnya merupakan salah satu fungsi dalam sistem infotaimen OnlyMic yang dibekalkan dan turut dipadankan bersama skrin sesentuh lapan-inci serta sistem audio Pioneer dengan 12-pembesar suara. Ya, pembeli turut menerima sekali mikrofon berjenama Traum manakala lagu pula boleh salurkan menerusi USB dan Bluetooth.

Selain dari sistem karaoke ini, Meet 3 turut hadir dengan bumbung suria panaromik, lampu hadapan LED, lampu suasana, sistem pengawa dingin automatik dua-zon, sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, serta instrumen digital pada kluster meter dengan skrin tujuh-inci.

Rekaan luaran dan dalaman SUV ini macam pernah nampakkan? Anda tidak silap, ia direka seakan SUV Mercedes-Benz GLA. Apa nak hairan, Traum Meet 3 ini memang dari China. SUV ini juga dilaporkan bakal dijual pada harga bermula 80,000 yuan (RM49,516) hingga 120,000 yuan (RM74,274).