Mercedes-AMG C43 Sedan, GLC43 CKD dilancarkan – harga lebih kompetitif, hingga RM91k lebih rendah

Hari ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan dua buah model Mercedes-AMG terawal yang dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia iaitu C 43 sedan dan juga model SUV berprestasi tinggi GLC 43. Kedua-dua model ini telahpun tiba dipasaran Malaysia tahun lalu dalam bentuk diimport sepenuhnya (CBU), dan menerusi model CKD ini tentunya menawarkan harga yang jauh lebih kompetitf.

Bagi model pemasangan tempatan ini, C 43 sedan akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM408,888 atau RM91,000 lebih murah dari versi CBU terdahulu. Manakala untuk SUV GLC 43 pula, ia berharga RM468,888 untuk versi CKD ini berbanding RM538,888 untuk model CBU sebelumnya – RM70,000 lebih murah.

Kedua-dua model ini masih dijana enjin M276 DELA 30 3.0 liter V6 turbo berkembar berkuasa 362 hp (367 PS) dan tork maksima 520 Nm, digabungkan bersama kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic. Kuasa kemudiannya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD 4Matic manakala kadar tork diagihkan lebih ke gandar belakang dengan nisbah 31:69.\

Dengan gabungan berkenaan, model sedan C43 mampu untuk memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat, manakala versi SUV GLC 43 pula memecut dalam jarak yang sama dalam masa 4.9 saat. Walau bagaimanapun, kelajuan maksima kedua-dua model ini dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Untuk pengendalian pula, sedan C 43 ini masih dibekalkan dengan sistem yang sama iaitu penyerap hentak adaptif AMG Ride Control, menawarkan mod Comfort, Sport dan Sport Plus. Sistem berkenaan turut bersepadu dengan sistem talaan pemanduan AMG Dynamic Select, yang mempunyai lima mod berbeza – Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual – yang akan melaras semula respon enjin transmisi serta stereng.

SUV GLC 43 pula, ia juga masih menerima sistem pengendalian sama seperti model CBU iaitu suspensi AMG Sports berdasarkan sistem Air Body Control. Sistem penyerap hentak adaptif ADS Plus turut diberikan yang memberikan mod Comfort, Sport dan Sport plus, bersama sistem AMG Dynamic Select.

Apa yang menarik, kelengkapan model CKD ini adalah hampir sama dengan versi CBU walaupun harga yang dikurangkan agak drastik. Kedua-dua model ini masih diberikan pakej penggayaan AMG Line, Night Package, serta lampu hadapan Intelligent LED.

Untuk sedan C 43, ia diberikan rim AMG dua-tona lima jejari berkembar berdiameter 19-inci, bersama lip spoiler hadapan. Manakala untuk SUV GLC 43, ia dipadankan dengan rim AMG 21-inci, bersama rel bumbung berwarna hitam, Chrome Package pada bahagian luaran serta running board dengan kemasan seperti aluminium bersama stad getah pada pada bahagian sisi.

Masuk ke bahagian kabin pula, kedua-dua model AMG 43 ini diberikan upholsteri kulit buatan manusia Black Artico/gentian mikro Dinamica, bersama kemasan piano black dan aluminium, tali pinggang keledar Designo Red, tempat duduk berkuasa pada bahagian hadapan lengkap dengan fungsi memori, bumbung suria panaromik, lampu suasana dan karpet kaki AMG.

Ciri standard lain yang dibekalkan kepada kedua-duanya model CKD ini termasuk sistem penghawa dingin dua-zon Thermotronic, kamera 360-darjah, Parking Pilot, COMAND Online, skrin infotainmen 8.4-inci, sistem bunyi Burmester dengan 13-pembesar suara, Keyless Go dengan butang penghidup enjin, Pre-Safe dan juga roda stereng dengan rekaan rata di bawah.

Selain boleh memiliki kereta ini dengan skim pembiayaan konvensional, anda juga boleh memilih pakej Performance Agility Care di mana ia akan memberikan faedah dari skim Agility Financing dan juga penyelenggaraan berkala kenderaan. Menerusi kaedah ini, C 43 Sedan boleh dimiliki dengan bayaran bulanan serendah RM4,088 untuk tempoh tiga tahun.

Mercedes-Benz AMG C43 4Matic Sedan

Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required