TC Subaru telah mengeluarkan senarai harga baharu yang efektif mulai 1 Jun ini, apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi 0% berbanding 6% sebelum ini. Pemansuhan GST ini diumumkan oleh kerajaan baharu dua hari lalu sebagai memenuhi janji menerusi manifesto yang dicanangkan sebelum ini.

Harga baharu tersebut adalah harga atas jalan tanpa insurans tetapi merangkumi diskaun standard – akan kekal sehingga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali mengambil alih GST. Walau bagaimana pun pengembalian SST tidak disebutkan dalam pengumuman mengenai GST-sifar pada dua hari lalu, namun difahamkan kementerian kewangan mengesahkan ia akan dikembalikan, tanpa memaklumkan jangkaan masa yang sebenarnya.

Tanpa GST, penjimatan dari RM6,681 bagi unit pemasangan tempatan untuk model XV 2.0i dan mencecah sehingga RM17,460 bagi model WRX STI CBU buatan Jepun.Terdapat sedikit variasi di dalam peratusan pengurangan, di mana ia adalah sedikit kurang daripada 6%. Ini adalah kerana GST sebanyak 6% ini hanyalah diaplikasi untuk harga jualan bagi sesebuah kereta (dan jika ia melibatkan model CBU, yuran pemeriksaan Puspakom juga diambil kira), sebelum kos pendaftaran (termasuk cukai jalan, yuran pendaftaran, yuran pemilikan) ditambah.

Klik untuk besarkan

Subaru merupakan syarikat pertama yang memberikan maklumbalas mengenai impak potensi terhadap perubahan harga ini selepas Pakatan Harapan menang besar dalam pilihanraya baru-baru ini. Malahan Subaru turut memperkenalkan Skim Perlindungan Harga untuk memberikan jaminan kepada semua pelanggan terhadap pergerakan harga semua tempahan kenderaan Subaru.

Menerusi skim ini, tempahan bagi semua model Subaru akan dilindungi harganya mula sekarang sehingga 18 Ogos 2018. Sekiranya pergerakan harga menaik sebelum pendaftaran bagi mana-mana model yang ditempah disebabkan oleh perubahan dalam regimen cukai, TC Subaru akan mengikut harga asal iaitu pada kadar yang lebih rendah.

Kini, kita semua sedia maklum bahawa harga tersebut akan mulai turun pada 1 Jun ini, jasi sudah pasti kebanyakan pelanggan akan menunggu sehingga bulan hadapan untuk membuat pembelian. Walau bagaimana pun, bagi pelanggan yang telah menempah dan membeli mana-mana model pada bulan ini, GST sebanyak 6% tetap akan dikenakan tetapi TC Subaru membuat keputusan akan memberikan baucar perkhidmatan dengan perbezaan nilai harga (sehingga had RM3,000).

TC Subaru juga memaklumkan Skim Perlindungan Harga ini akan diteruskan sehingga Ogos 2018. Umum mengetahui, sekiranya SST dikembalikan, harganya mungkin akan lebih tinggi daripada senarai harga bulan Jun. Jadi, bulan hadapan adalah masa terbaik untuk membeli mana-mana model Subaru yang anda berkenan.