Volvo V40 T5 dengan kemasan R-Design

Ketika Volvo Cars Malaysia menyiarkan senarai harga model mereka sempena GST berkadar sifar peratus bermula 1 Jun ini, model varian asas untuk hatchback V40 iaitu V40 T4 turut tersenarai bersama varian tertinggi T5.

Model T4 tersebut hadir dengan berberapa kemasan luaran R-Design sama seperti model T5 pada gambar diatas, termasuk gril hadapan, bampar, diffuser belakang dan juga sepasang tip ekzos lebih besar. Namun, versi lebih rendah ini dikenakan dengan set rim aloi ‘Markeb’ 16-inci dengan tayar 205/55R16, berbanding versi T5 yang menerima rim ‘Spider’ berdiameter 17-inci.

Model T4 ini masih dijana enjin turbo 2.0 liter empat silinder Drive-E, tetapi ditala untuk menghasilkan kuasa 190 hp pada takat 4,700 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 1,300 hingga 4,000 rpm, berbanding enjin yang sama pada versi T5 berkuasa 245 hp/350 Nm.

Untuk transmisi, versi T4 ini juga hanya dibekalkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan Geartronic, berbanding T5 yang menerima unit dengan lapan-kelajuan. Ini membolehkan hatchback tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

T4 juga berkongsi banyak kelengkapan lain seperti T5 antaranya pakej sistem bantuan pemanduan Intellisafe yang terdiri dari brek kecemasan automatik City Safety, sistem pemantau titik buta (BLIS), amaran lintasan trafik (CTA), bantuan brek kecemasan (EBA) dan pelbagai lagi.

Volvo V40 T5 dengan kemasan R-Design

Ia juga menerima lampu hadapan LED dengan larasan automatik bersama lampu nyalaan siang LED Thor Hammer, sistem penghawa dingin automatik dua-zon dengan sistem kualiti udara Clean Zone, lapan-pembesar suara, upholsteri kulit dan juga tempat duduk Comfort larasan berkuasa dengan fungsi memori pada sebelah pemandu.

Walau bagaimanapun, T4 hanya menerima papan instrumen dengan paparan meter analog standard berbanding model T5 yang diberikan paparan digital sepenuhnya. Skrin untuk sistem infotainmen Sensus juga hanya bersaiz lima-inci (tujuh-inci pada T5) dan sistem Park Assist hanya untuk bahagian belakang (belakang dan hadapan pada T5). T4 juga tidak disertakan dengan sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin, serta Park Assist Pilot.

Volvo V40 T4 akan dijual pada harga atas jalan termasuk GST tanpa insuran RM163,888 sehingga penghujung Mei ini. Jika anda membelinya pada kadar GST sifar bermula 1 Jun 2018, ia dijual pada harag RM154,648.93, atau RM9,239.07 lebih murah. Berbanding T5 (berdasarkan GST sifar), model T4 ini dijual pada harga RM16,037.74 lebih murah.

Empat warna badan ditawarkan iaitu Bright Silver, Onyx Black, Osmium Grey dan Ice White, manakala setiap pembelian akan dilindungi waranti selama lima tahun atau 120,000-km.

GALERI: Volvo V40 T5 dengan kemasan R-Design