Sempena Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dikadarkan pada sifar peratus bermula 1 Jun ini, Isuzu Malaysia telah mengumumkan harga baharu bagi kesemua barisan modelnya. Harga baharu ini sudah tentu, akan berkuatkuasa bermula 1 Jun sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diumumkan mula dikenakan semula kelak yang dijangka dalam 2,3 bulan dari sekarang, menurut ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.
Harga baharu yang diumumkan tersebut adalah harga atas jalan tanpa insuran. Penjimatan bermula serendah RM4,782 jika anda membeli trak pikap Isuzu D-Max Single Cab 2.5L 4×4 manual sehingga RM10,291.20 untuk varian tertinggi SUV MU-X 2.5L 4×4.
Isuzu D-Max Single Cab 2.5L 4×4 manual berkenaan akan dijual pada harga hanya RM80,889.20 setelah GST dikenakan pada kadar sifar (RM85,671.20 pada harga semasa), manakala MU-X 2.5L 4×4 pula dijual pada harga RM172,709.20 bermula bulan hadapan, berbanding RM183,000.40 sekarang.
Jika anda membuat perkiraan berdasarkan jadual diatas, pengurangan harga tersebut tidaklah tepat sehingga 6%. Ini kerana GST hanya melibatkan harga jualan, dan tidak termasuk bayaran proses lain seperti bayaran pemeriksaan Puspakom untuk model CBU, bayaran pendaftaran dan pelbagai lagi.