Hyundai telah menunjukkan satu kenderaan konsep baru di Busan Motor Show 2018, dinamakan sebagai Grandmaster (HDC-2). Ia memberikan petunjuk kepada SUV saiz penuh akan datang Hyundai, dan merupakan model kedua yang menggunakan tema ‘Sensuous Sportiness’ selepas Le Fil Rouge (HDC-1).

Badan HDC-2 jelas menunjukkan ia mempunyai saiz yang besar dan berkongsi beberapa ciri rekaan dengan HDC-1. Sebagai contoh, gril hadapannya menggunakan bentuk poligon yang disusun secara simetri tapi visual yang terhasil masih mempunyai sedikit perbezaan.

Lagi ciri yang menarik, anda boleh melihat kemasan perak pada bahagian atas tingkap tidak bertemu di pintu belakang seperti kereta biasa, dan ia ditarik lebih ke belakang. Kemasan yang dibawah pula berakhir sebagai satu garisan di cermin pintu belakang. Kemudiannya, bahagian paling bawah yang boleh dilihat dari tepi, semuanya menggunakan kemasan krom dari depan sampai ke belakang.

Bahagian belakang pula lebih ringkas dan licin. Bahagian yang menonjol cuma garisan LED di atas spoiler, dan lampu yang berbentuk menegak. Selain pencahayaan berbentuk C yang besar, ia juga mempunyai garis-garis kecil dan lubangnya terbiar tanpa penutup.

Daripada gambar spyshot yang diperolehi sebelum ini, kita sudah tahu Hyundai sedang membangunkan SUV saiz penuh dan ia ini sedang diuji. Berdasarkan elemen rekaan yang boleh dilihat, ia seperti sama, dan ada yang memberitahu ia mungkin akan dinamakan sebagai “Palisade”.