Suzuki Jimny generasi baru hanya akan didedahkan 5 Julai nanti, tapi di internet, gambarnya sudah mula tersebar, dimuat naik oleh Creative311. Daripada gambar ini juga, ia boleh dilihat menggunakan gaya retro seperti model generasi awal terdahulu.

Walaupun mempunyai bentuk kotak, Jimny baru ini masih membawa beberapa tanda rekaan daripada model generasi ketiga (JB). Sebagai contoh, lampu hadapannya yang berbentuk bulat terletak sekali di dalam gril dengan lima jalur, dan lampu kabusnya diletakkan hujung, di bucu bampar.

Pada bahagian lain, kereta ini boleh dikatakan agak berbeza, dengan adanya lengkuk roda yang lebih tegap, rangka tingkap yang lebih tajam dan bonet yang lebih tinggi. Pintu ruang simpanan belakang juga nampak lebih praktikal kerana boleh dibuka lebih luas, manakala lampu belakang pula diletakkan rendah.

Bahagian dalam juga diubah untuk model baru ini, melihatkan penggunaan skrin infotainmen yang diletakkan di tengah papan pemuka. Ini memerlukan corong pendingin hawa diletakkan lebih rendah, diikuti tombol pengawal suhu. Roda stereng dan panel instrumen nampak seperti diambil daripada Swift, tetapi mempunyai sedikit kelainan.

Dalam satu gambar risalah yang lain, Jimny juga nampak seperti akan ditawarkan dalam varian Sierra, yang dijangka akan menampilkan penggayaan lebih kepada offroad. Melihat kepada gambar kualiti rendah itu, antara peningkatan yang diberi pada varian ini adalah termasuk kit badan dan kemasan tambahan di dalam.

Risalah yang bocor ini juga mengesahkan Jimny baru akan dibina atas kerangka ladder-on-frame dan mempunyai sistem pacuan empat roda. Pilihan enjin pula berkemungkinan termasuk tiga silinder Boosterjet turbo 1.0 liter dan Dualjet empat silinder 1.2 liter.