PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

Kenapa sejak dari dulu Mercedes-Benz menjadi pilihan ‘taukeh-taukeh’ besar sebagai kenderaan harian mereka? Ramai yang beranggapan ia adalah faktor prestij jenama itu sendiri, tetapi bagi mereka yang pernah memandu Mercedes-Benz dan terkena ‘panahan asmara’, pasti faham kenapa Merc mempunyai tempat istimewa berbanding jenama mewah lain.

Berbanding BMW yang lebih menumpukan pada aspek sheer driving pleasure, Mercedes-Benz sentiasa unggul dalam memberikan pengalaman premium di dalam kabin. Anda bukan sahaja akan berasa mewah dengan setiap pandangan dan sentuhan pada material komponen-komponen dalam ruang dalaman, malah enjin, kotak gear dan suspensi Mercedes-Benz memberikan keselesaan dalam kelas yang cukup tinggi.

Mungkin ramai yang beranggapan Merc telah berubah setelah rekaan model-model terbaharunya mula dilihat kearah untuk menambat hati golongan lebih muda, namun sebenarnya karekter asas setiap model-model berkenaan masih kekal dengan DNA jenama tersebut. Anda mungkin melihat model E 300 Coupe sebagai sebuah model sport, namun bagi saya sendiri, penghantaran kuasa pada model seksi dua pintu tersebut masih lagi jinak dan tidak cukup agresif, walaupun hanya dibandingkan dengan sedan keluarga empat pintu Volvo S60 T6.

PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

Namun bila model-model dari Mercedes ini menerima lencana AMG dan tiga angka di belakang bertukar kepada hanya dua angka, perkara sebaliknya berlaku. Model-model tersebut berubah dari ‘kereta uncle‘ kepada jentera buas yang benar-benar agresif. Mercedes-AMG A45 misalnya, dijana dengan enjin 2.0 liter dengan turbo standard sebesar pasu bunga menghasilkan 381 hp/475 Nm, manakala sedan keluarga empat-pintu Mercedes-AMG E63 S pula dibekalkan dengan enjin yang berkuasa setara dengan supercar seperti Lamborghini Huracán.

Walau bagaimanapun, dalam hieraki keluarga AMG masih lagi ada model yang masih lagi waras iaitu jentera-jentera dengan lencana ’43’ – salah satunya adalah sedan empat pintu yang saya uji kali ini, Mercedes-AMG W205 C 43 4Matic. Model ini mula diperkenalkan pada tahun 2016, kemudian masuk ke fasa facelift pada Mac 2018.

Ia mula masuk ke pasaran Malaysia pada Mei 2017 dalam bentuk diimport sepenuhnya (CBU), manakala versi CKD telah pun diperkenalkan pada pasaran dalam negara pada April tahun ini, dipasang secara tempatan di kilang Mercedes-Benz Malaysia (MBM) yang terletak di Pekan, Pahang.

Usaha MBM untuk memasang model AMG sebenar ini semestinya menguntungkan pengguna tempatan, di mana dengan spesifikasi yang hampir 100% sama, C43 4Matic sedan kini dijual pada harga RM408,888 atau RM91,000 lebih murah dari versi CBU terdahulu. Malah sekiranya anda membelinya pada masa sekarang dengan GST pada kadar sifar peratus, dan sebelum SST diperkenalkan kembali pada 1 September ini, kereta ini dijual pada harga atas jalan RM385,883.21 atau potongan harga sehingga RM23k.

Pada bahagian luaran, model ini tentunya diberikan rupa yang garang menerusi kelengkapan pengayaan AMG yang terdiri dari gril, apron dan lips spoiler hadapan, bampar belakang dengan liang udara sisi, serta set rim asli AMG dua-tona lima jejari berkembar berdiameter 19-inci dibaluti tayar 255/35R19. Nak tau ia AMG asli atau sekadar memasang emblem palsu di penutup bonet belakang? C43 sebenar ini diberikan cakera brek slotted dan juga angkup brek AMG dengan saiz yang lebih besar.

Secara amnya, kabin untuk C43 AMG ini adalah sama asasnya dengan C-Class W205 lain. Namun ia tentulah diberikan perincian-perincian yang memberikan perasaan yang sporty dari model biasa. Dua meter analog utama iaitu takometer dan meter kelajuan diberikan latar belakang dengan elemen bendera perlumbaan, manakala fungsi skrin informasi tengahnya pula diberikan satu lagi fungsi tambahan istimewa dengan tajuk ‘AMG’.

PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

Dengan memilih ikon berkenaan, pemandu akan disajikan dengan pelbagai informasi-informasi prestasi antaranya meter G-Force, bacaan boost turbo bersama suhu minyak pelincir dan bendalir transmisi, status talaan mod pemanduan serta jam randik untuk merekod masa lap di dalam litar.

Tiada sebarang panel kemasan gentian karbon diberikan, dimana pada konsol tengah ia dipenuhi dengan kemasan plastik dengan warna piano black. Keseluruhan kabin berwarna hitam kereta ini diberikan serlahan jahitan berwarna merah, termasuk pada balutan kulit untuk roda stereng dengan bentuk rata di bawah.

C43 turut hadir dengan set tali pinggang keselamatan dengan warna Designo Red, walau bagaimanapun ia tidak menerima tempat duduk hadapan bucket seperti pada model A45 AMG mahupun E63 AMG. Tetapi, pada pandangan peribadi saya sendiri, tempat duduk sport dengan balutan kulit buatan manusia Black Artico/gentian mikro Dinamica ini sebenarnya lebih sesuai untuk digunakan setiap hari kerana ia lebih empuk, lebih selesa, dan bagi orang yang berbadan besar seperti saya, nak keluar/masuk kedalam kabin atau mahu mengeluarkan sesuatu dari poket seluar adalah jauh lebih mudah.

Juga, C43 tidak diberikan tuil penukar gear pada terowong tengah seperti A45, dan ia kekal pada sebelah kanan belakang roda stereng seperti C-Class normal. Oleh itu, praktikaliti sedan sport ini masih lagi dikekalkan dengan ruang storan dan pemegang cawan yang cukup besar pada bahagian tersebut, bersama perehat tangan yang selesa dan juga butang-butang kawalan serta touch pad dan suis putar sistem infotaimen COMAND boleh digunakan seperti biasa.

Ciri lain yang boleh anda temui pada sedan AMG ini adalah bumbung suria panaromik, lampu suasana, karpet kaki AMG, sistem penghawa dingin dua-zon Thermotronic, kamera 360-darjah, Parking Pilot, COMAND Online, skrin infotainmen 8.4-inci, sistem bunyi Burmester dengan 13-pembesar suara, Keyless Go dengan butang penghidup enjin serta sistem keselamatan pemanduan Pre-Safe.

Mercedes-AMG C43 dijana oleh enjin M276 DELA 30 3.0 liter V6 turbo berkembar berkuasa 362 hp dan tork maksima 520 Nm, digabungkan bersama kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic. Kuasa kemudiannya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD 4Matic.

Bagi pengendalian pula, sedan C43 ini dibekalkan dengan sistem meliputi penyerap hentak adaptif AMG Ride Control, menawarkan mod Comfort, Sport dan Sport Plus. Sistem berkenaan turut bersepadu dengan sistem talaan pemanduan AMG Dynamic Select, yang mempunyai lima mod berbeza – Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual – yang akan melaras semula respon enjin transmisi serta stereng.

Atas kertas, kereta ini didakwa mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat, sebelum kelajuan maksima dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Bagaimana pula dengan pemanduan sebenar?

Seperti yang disebutkan tadi, ada lima mod pemanduan yang disediakan untuk kereta ini. Untuk pemanduan dalam bandar dan trafik sesak, mod Eco dan Comfort adalah yang paling sesuai. Selain dari suspensi ditala kepada yang paling selesa (cukup untuk anda tidak memantul-memantul dikawasan pembinaan LRT seperti memandu Civic Type R FD2 standard), kuasa enjin dan tukaran gear juga dilaras pada kerekter yang paling jinak.

PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

Karekter berkenaan jelas bertukar sekiranya anda menukar mod berkenaan kepada Sport – ketika ini ia mula menunjukkan ‘sikap AMG’ nya yang sebenar. Kuasa enjin dilaras pada respon yang benar-benar tajam dan bersedia melepaskan kuasa walau dengan sedikit tujahan pedal pendikit, manakala transmisi pula bukan sahaja menukar gear dengan laju dan agresif, malah gear rendah ‘ditahan’ dengan lebih lama.

Ini menyebabkan kereta tersebut akan menjadi tersengguk-sengguk jika ia merangkak dalam kesesakan trafik sekiranya menggunakan mod Sport dan Sport Plus dalam situasi seperti itu, seolah-olah anda memandu sebuah Proton Wira dengan enjin 4G63 Mitsubishi Galant VR4 bersama kotak gear manual dalam jalan sesak – nak tekan nanti pegi laju sangat, tak tekan tersengguk-sengguk pula. Jadi sekiranya anda mahukan respon enjin yang begitu pantas dalam kesesakan trafik (perlu ke?), adalah lebih baik anda menggunakan mod transmisi manual sepenuhnya dan naikkan gear sendiri dengan lebih cepat.

Namun sekiranya anda membawa C43 ini ke Ulu Yam, mod Sport Plus adalah sesuatu yang akan benar-benar rindui. Tidak seperti model-model Mercedes-Benz biasa, kuasa enjin V6 dengan dua pengecas turbo bersama kotak gear automatik konvensional memberikan penghantaran yang cukup agresif untuk membuatkan saya tersenyum setiap kali pedal pendikit ditekan dengan semahunya.

Apa yang membuatkan saya benar-benar sukakan pada penghantaran kuasa kereta ini adalah sifatnya yang tidak melebih-lebih. Ia cukup buas tetapi tidak menyebabkan anda berasa ‘takut’ setiap kali letusan boost turbo diberikan, berlawanan dengan boost pada hot-hatch AMG A45 yang pada saya orang gila sahaja yang berani memandu kereta tersebut dengan sepenuh kuasa di jalan raya awam.

Saya juga sangat suka mod transmisi manual kotak gear sembilan-kelajuan pada kereta ini. Mod berkenaan berfungsi secara manual hampir sepenuhnya, tidak seperti sesetengah kereta yang akan menaikkan gear sendiri sekiranya jarum rpm mencecah redline. Ia juga mempunyai shift light pada skrin paparan instrumen untuk memberitahu rpm hampir mencecah kemuncak dan sesuai untuk menukar gear. Perlu diingatkan, walaupun gear tidak bertukar sendiri, enjin akan ‘cut-off‘ sekiranya mencecah putaran di tahap bahaya.

Selain kerangka dan juga talaan suspensi yang ditala dengan cukup baik, sistem pacuan semua roda 4Matic dengan agihan tork 31% pada bahagian hadapan dan 69% untuk gandar belakang membuatkan kereta ini mempunyai pengendalian yang cukup tajam. Ia masih lagi mempunyai rasa seperti sebuah kereta pacuan roda belakang tanpa kecenderungan untuk understeer mahupun bersifat neutral, namun sistem AWD berkenaan memberikan cengkaman jalan yang cukup kuat, sehingga amat sukar untuk membuatkan mana-mana tayar menegeluarkan bunyi mendecit ketika bermain di selekoh.

PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

Stereng kereta ini juga memberikan respon yang cukup bagus – tidak terlalu ringan dan juga tidak terlalu berat membolehkan anda membaca permukaan jalan dengan baik.

Jujur saya katakan, persepsi saya ketika mula-mula menerima kereta adalah menganggap ia adalah sama seperti adik-beradik AMG nya yang lain iaitu kereta yang diberikan kuasa enjin tahap tak patut sehinggakan anda takut untuk memandunya sepenuh hati di jalan raya biasa dan anda perlu memandu di litar sebenar untuk merasai kesemua potensinya.

Namun setelah mengenal hati budi Mercedes-Benz C43 Sedan 4Matic, jelas ini adalah model AMG yang paling saya suka setakat ini kerana ia direka dengan konsep wasatiyyah, tidak melebih-lebih, bukan sahaja dari segi penghasilan kuasa, malah praktikalitinya sebagai sebuah sedan keluarga bagi digunakan sebagai kenderaan harian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required