2018 Kia Stinger GT2 RWD

Tahun lalu, sedan sport empat pintu Kia Stinger muncul untuk diprebiu bagi pasaran Malaysia, manakala minggu lalu imej teaser kereta berkenaan disiarkan sebagai tanda tarikh pelancarannya semakin hampir. Apa yang menjadi teka-teki, adakah kita akan menerima model 2.0L empat silinder atau 3.3L V6?

Laman Facebook Naza Kia Malaysia sekali lagi menyiarkan teaser Stinger, kali ini mendedahkan bahawa model pasaran Malaysia akan dibekalkan dengan kuasa 365 hp dan tork maksima 510 Nm – ini bermaksud kita akan menerima versi paling berkuasa dengan enjin 3.3 liter turbo berkembar V6 Lambda II dengan dua pengecas turbo dari varian GT.

Enjin tersebut sudah pastinya akan dipadankan dengan kotak lapan-kelajuan automatik, tetapi satu lagi persoalan belum terjawab – adakah Malaysia akan diberikan sistem pacuan semua roda atau hanya memacu roda belakang?

Setelah mula di pasarkan kelak, Kia Stinger GT bakal berhadapan dengan model dengan spesfikasi paling hampir dengannya iaitu Mercedes-AMG C 43 sedan yang dijana enjin 3.0 liter V6 juga dengan dua pengecas turbo menghasilkan 362 hp/530 Nm.

Atas kertas, Stinger GT mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 269 km/j, manakala C 43 AMG mampu memecut lebih pantas pada jarak sama dengan hanya 4.7 saat. Namun kelajuan maksima C 43 telah dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Selain dari kuasa, prestij jenama dan juga harga pastinya akan menjadi faktor bagi menjual Kia Stinger GT ini di Malaysia – untuk pengetahuan anda, Mercedes-AMG C 43 dijual dalam versi CKD di Malaysia pada harga RM385k (tanpa GST atau SST). Berapa agaknya harga sedan berprestasi dari Korea ini? Teruskan bersama kami sehingga ia dilancarkan nanti.