Berdasarkan sambutan menggalakkan ketika penganjuran musim pertama Toyota GAZOO Racing (TGR) Festival dan perlumbaan Vios Challenge sebelum ini, UMW Toyota Motor Sdn Bhd akan meneruskan penganjuran acara berkenaan bagi musim kedua.

Pusingan pertama perlumbaan musim baru ini akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 2 hingga 4 Ogos. Ini diikuti pula oleh perlumbaan di MAEPS Serdang pada 19 hingga 21 Oktober, Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 22 hingga 24 Februari 2019 dan yang terakhir di Litar Antarabangsa Sepang pada 12 hingga 14 April 2019.

Bakal menggunakan format yang sama seperti sebelumnya, tiga kategori akan dipertandingkan sekali lagi; terdiri daripada kategori Sporting, Super Sporting dan Promotional. Kategori Sporting bagi pelumba semi-profesional dan kategori Super Sporting bagi pelumba profesional.

Kategori Promotional pula melibatkan pelumba selebriti. Janna Nick, Diana Danielle, Shawn Lee dan Syukri Yahaya yang berlumba ketika musim pertama akan ikut serta sekali lagi. Bakal memberi saingan kepada mereka ialah barisan enam muka baru yang akan terlibat di dalam musim kedua ini nanti.

Mereka ialah Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Akim Ahmad dan Nabil Ahmad. Seperti juga kumpulan selebriti pertama sebelum ini, semua mereka akan diberikan latihan menerusi Akedemi Vios untuk mempersiapkan diri bagi perlumbaan yang bakal berlangsung.

Vios Challenge turut mengekalkan barisan penaja utama yang terlibat dari musim pertama. Ini termasuk Toyo Tyres, Denso, TRD Asia, Enkei, Moty’s, minuman tenaga Drive M7 dan Toyota Capital Services.

Dalam majlis yang sama, UMWT turut mengumumkan arah tuju baru jenama itu, melalui platform “All About the Drive”. Dua perkara yang akan diberi tumpuan adalah untuk menzahirkan “pemanduan harian yang lebih menyeronokkan” serta menjadikan barisan produk sedia ada dan yang akan datang agar “lebih dikenali”.

UMWT juga menyatakan komitmen syarikat itu untuk memberi komitmen yang lebih tinggi untuk mendekati golongan muda dengan lebih berkesan melalui saluran komunikasi digital.